Oleh Davies Gendum

NILAI – Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Kursus Kokurikulum Berkredit SISPA I Seksyen 1, SISPA I Seksyen 2, SISPA II Seksyen 1 dan SISPA II Seksyen 2 telah menganjurkan tiga program Universiti Community Engagement secara bersemuka pada 16 Jun 2022 sehingga 18 Jun 2022.

Program tersebut telah berlangsung di dua lokasi iaitu di Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Sahabat Insani.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan 72 pelajar dari keempat-empat kursus tersebut dan penyertaan 160 pelajar dari Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Sahabat Insani.

Tiga program yang berlangsung tersebut ialah, Program Wacana Ilmu: Kesiapsiagaan Komuniti, Program Wacana Ilmu: Kemahiran Pertahanan Awam dan Program Wacana Ilmu: Pertolongan Cemas.

Program Wacana Ilmu: Kesiapsiagaan Komuniti merupakan program khusus kepada pelajar sekolah menengah di Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani, manakala Program Wacana Ilmu: Kemahiran Pertahanan Awam dan Program Wacana Ilmu: Pertolongan Cemas masing-masing pula kepada pelajar sekolah rendah tahap 1 dan 2.

Fokus utama program ini dilaksanakan adalah untuk memperkenalkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan menerapkan kemahiran Pertahanan Awam kepada pelajar sekolah sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang kecemasan sama ada di rumah, tempat kerja atau di kawasan awam pada masa hadapan.

Tiga kemahiran Pertahanan Awam iaitu, Asas Kemahiran Menyelamat, Asas Kemahiran Pertolongan Cemas dan Asas Kemahiran Melawan Kebakaran telah dikongsikan kepada peserta.

Pihak Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani turut membuat perkongsian ilmu kepada pelajar UTHM melalui sesi sembang santai yang bertajuk Kita Adalah Pemimpin yang disampaikan oleh Pengetuanya, Ustaz Mohd Affendi Othman.

Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Pegawai Latihan dan Operasi Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam UTHM, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohammad Razi selaku wakil rasmi Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan UTHM.

Hadir sama, Pengerusi Sahabat Insani Malaysia, Dr. Mohd Huzairi Husain.

Dr. Mohd Adib dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah kerana mahu menjalinkan kerjasama dalam menjayakan ketiga-tiga program tersebut.

Beliau juga berharap supaya kerjasama ini terus diperkukuhkan dengan kolaborasi yang lebih strategik pada masa hadapan melalui pelbagai bentuk jalinan kerjasama dalam memartabatkan lagi pembangunan komuniti setempat.

Manakala Dr. Mohd Huzairi dalam ucapannya turut menyatakan hasrat dan rasa teruja pihak sekolah untuk meneruskan lagi kolaborasi seumpama ini pada masa hadapan.

 

Berita ini juga diterbitkan dalam :

160 pelajar timba ilmu berkaitan kemahiran pertahanan awam menerusi program UTHM

1. malaysia MSN.com, 26 Julai 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/160-pelajar-timba-ilmu-berkaitan-kemahiran-pertahanan-awam-menerusi-program-uthm/ar-AAZYeUk

2. sinarbestari.sinarharian.com, 26 Julai 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/buletin/160-pelajar-timba-ilmu-berkaitan-kemahiran-pertahanan-awam-menerusi-program-uthm/