Mengukur kemahiran dan kompetensi graduan abad-21 melalui pentaksiran alternatif

Gambar hiasan: pexels

Kemahiran dan kompetensi adalah dua istilah yang kelihatan sinonim dan sering dijumpai apabila membincangkan isu keperluan bidang kerjaya. Walau bagaimanapun, dalam artikel  yang bertajuk “Core skill development of new media marketers based on job competency model”, Zhang dan Wang (2019), telah membezakan kedua-dua istilah tersebut dalam kajian mereka.  Kemahiran adalah kebolehan yang dipelajari untuk melaksana tugasan yang khusus. Kompetensi pula meliputi kemahiran, pengetahuan dan kebolehan yang menyumbang kepada kejayaan suatu pekerjaan. Misalnya dalam bidang teknologi maklumat, kemahiran merujuk kepada kemampuan menulis pengaturcaraan komputer dan mereka bentuk antara muka sistem. Berbeza daripada kemahiran, kompetensi dalam bidang teknologi maklumat pula merujuk kepada kecekapan mengurus projek perundingan dan melaksana perancangan strategik dalam penyelesaian masalah. Penguasaan kemahiran dan kompetensi telah menjadi agenda utama inisiatif Bahagian Kecemerlangan Akademik, Kementerian Pengajian Tinggi kebelakangan ini. Di antara inisiatifnya ialah rangka kerja landskap pembelajaran melalui pengalaman dan pendidikan berasaskan kompetensi yang lebih dikenali sebagai Experiential Learning and Competency Based Education Landscape (EXCEL).

Inisiatif yang diperkenalkan ini adalah selaras dengan tuntutan keperluan Pendidikan Abad-21. Demikian juga dengan kemunculan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan graduan berdaya tahan dan inovatif untuk menghadapi cabaran dunia kerjaya hari ini dan masa depan. Hakikatnya dunia kerjaya pada hari ini tidak melihat kepada kelulusan sijil akademik semata-mata. Malahan graduan perlu bersedia untuk menguasai pelbagai kemahiran dan kompetensi untuk berdepan dengan  persekitaran kerjaya yang dinamik dan memerlukan pengetahuan pelbagai disiplin. Nilai prestasi kemahiran dan kompetensi dicapai lebih relevan apabila ia diperhatikan dalam suasana melaksana tugasan ketika berhadapan dengan masalah sebenar di industri atau komuniti. Berlandaskan keperluan tersebut, EXCEL telah direka bentuk untuk menjadi teras dalam program akademik institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia ke arah melahirkan graduan tersedia untuk masa hadapan yang diharapkan.

Walau bagaimanapun kelebihan kandungan rangka kerja EXCEL tidak akan dapat dinikmati oleh pelajar IPT tanpa sokongan dan dukungan warga akademik IPT. Rangka kerja EXCEL haruslah difahami, dihayati dan dilaksanakan di pelbagai peringkat di IPT seluruh Malaysia, khususnya penyedia program akademik, pensyarah dan pelajar. Pensyarah perlu memahami teras EXCEL yang fokus terhadap keperluan memberi pengalaman kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah dalam dunia sebenar termasuklah di industri dan komuniti. Tentunya hasrat untuk melaksanakan  EXCEL tersebut tidak dapat dicapai sekiranya kebanyakan pensyarah masih mengamalkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara konvensional dalam bilik kuliah dan makmal semata-mata. Malahan, amalan pentaksiran dalam bentuk kuiz, ujian, laporan makmal dan peperiksaan akhir hanya digunakan untuk menilai kemampuan pelajar menghafal apa yang telah diajar oleh pensyarah dan apa yang telah dipelajari dalam ruang kuliah dan makmal sahaja. Dalam erti kata lain, pentaksiran secara konvensional ini bukan sahaja tidak dapat mengukur tahap sebenar, malahan gagal membina kemahiran dan kompetensi diharapkan.

Amalan PdP  dan pendekatan pentaksiran di IPT seharusnya melalui proses transformasi untuk membolehkan perolehan kemahiran dan kompetensi berlaku dalam persekitaran masalah dunia sebenar. Oleh yang demikian, pelajar perlu didedahkan dengan pengalaman menyelesaikan masalah dalam industri mahu pun komuniti sebagaimana yang ditekankan dalam rangka kerja EXCEL. Jika kandungan inisiatif EXCEL difahami, pensyarah pasti tidak lagi terikat dengan amalan PdP  konvensional yang hanya melibatkan syarahan dan eksperimen dalam ruang kampus sahaja.

Selain aktiviti PdP, proses transformasi juga perlu berlaku dalam pendekatan pentaksiran di IPT. Pendekatan pentaksiran yang dilaksana hendaklah mengambil kira elemen yang menjurus kepada kemahiran dan kompetensi yang hendak dibina dalam diri pelajar. Bagi mencapai hasrat tersebut, pensyarah tidak dapat mengelak daripada melaksanakan pentaksiran alternatif. Pentaksiran alternatif merupakan pendekatan praktikal untuk melihat kemahiran dan kompetensi pelajar melalui keterlibatan  dalam proses  penyelesaian masalah. Pentaksiran dibuat untuk fokus terhadap bentuk tindakan, kelakuan, dan kebolehan pelajar melaksana aktiviti penyelesaian masalah dan bukannya menilai pengetahuan yang dihafal daripada kandungan syarahan sahaja. Pentaksiran alternatif adalah lebih realistik dalam pelaksanaan rangka kerja EXCEL kerana bentuk masalah yang dihadapi dalam dunia realiti di industri dan komuniti bersifat dinamik dan pelbagai. Oleh itu pelajar boleh menunjukkan kemahiran dan kompetensi dalam mempertimbangkan penyelesaian terbaik untuk mengurus masalah yang ditemui. Analoginya adalah seperti menjawab soalan ujian memandu dalam komputer tentulah tidak akan memberi pengalaman yang sama dengan pemanduan di jalanraya sebenar.

Terdapat pelbagai bentuk pentaksiran alternatif yang boleh digunapakai oleh pensyarah dalam PdP seperti ePortfolio, seminar, penulisan blog, forum, penilaian kendiri dan seumpamanya. Rubrik yang jelas juga perlu dibangunkan agar pelajar bersedia dengan kemahiran dan kompetensi yang perlu diaplikasi, dipamer dan dilaporkan dalam proses penyelesaian masalah. Pensyarah juga boleh mendapatkan input daripada pemegang taruh, termasuklah pihak industri dan alumni untuk mengenal pasti elemen kemahiran dan kompetensi terkini yang hendak diterapkan dalam rekabentuk pentaksiran alternatif. Selain itu, perkongsian pengalaman individu yang telah menjalani kursus pensijilan profesional dan kompetensi juga boleh dijadikan sumber rujukan dalam merekabentuk pentaksiran alternatif yang diinginkan.

Dalam menghasilkan pelan pentaksiran alternatif, pensyarah perlu mengambil kira tiga faktor utama iaitu:

  • Hasil pembelajaran kursus dan tahapannya
  • Tugasan atau projek yang autentik
  • Jenis pembelajaran yang hendak digalakkan

Senario pendekatan pentaksiran alternatif dalam dua kursus teras Sains Komputer iaitu  Pengaturcaraan Komputer dan Asas Keselamatan Maklumat dibincangkan sebagai contoh di sini. Contoh soalan yang dijadikan dalam aktiviti makmal diberi dalam Rajah 1 untuk topik dalam setiap kursus. Hasil pembelajaran yang ingin dicapai turut dinyatakan.

 

Kursus: Pengaturcaraan Komputer

 

Hasil pembelajaran:

Di akhir aktiviti ini pelajar boleh membina penyelesaian masalah menggunakan elemen tatasusunan dalam pengaturcaraan komputer.

 

Aktiviti dalam makmal:

Tulis satu aturcara yang membenarkan seorang pengguna memasukkan 10 nilai integer untuk disimpan dalam satu tatasusunan menggunakan bahasa pengaturcaraan Java. Aturcara tersebut hendaklah menentukan purata, nilai terbesar dan nilai terkecil menggunakan nilai yang telah dimasukkan oleh pengguna.

 

Contoh pentaksiran alternatif:

Kumpulan anda dikehendaki memilih satu organisasi perniagaan industri kecil sederhana (IKS) di sekitar Batu Pahat. Kenalpasti data yang boleh digunakan daripada IKS dipilih untuk membina satu aplikasi pelaporan prestasi perniagaan menggunakan elemen tatasusunan. Bentangkan sistem pelaporan prestasi perniagaan yang telah dibangunkan untuk mendapat maklumbalas daripada pemilik IKS sasaran. Hasilkan manual pengguna untuk rujukan pemilik IKS tersebut.

 

Rajah 1. Transformasi aktiviti makmal kepada pentaksiran alternatif bagi kursus Pengaturcaraan Komputer

 

Kursus: Asas Keselamatan Komputer

 

Hasil pembelajaran:

Di akhir aktiviti ini pelajar boleh menerangkan setiap elemen langkah keselamatan maklumat sesebuah organisasi.

 

Aktiviti dalam makmal:

Senarai dan terangkan setiap elemen yang perlu ada untuk menjaga keselamatan maklumat organisasi.

 

Contoh pentaksiran alternatif:

Pilih sebuah sekolah yang berdekatan tempat tinggal anda. Kumpulan anda bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan satu kempen kesedaran keselamatan maklumat yang sesuai untuk warga sekolah yang dipilih. Laporkan perancangan, pelaksanaan dan perincian kempen tersebut.

 

Rajah 2. Transformasi aktiviti makmal kepada pentaksiran alternatif bagi kursus Asas Keselamatan Maklumat

Ternyata contoh aktiviti makmal bagi kedua-dua kursus tersebut hanya membolehkan pelajar menghafal konsep yang telah diajar dan mengaplikasi kemahiran yang minimum dalam penyelesaian masalah. Berbeza daripada aktiviti makmal, pentaksiran alternatif memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk membina kemahiran dan kompetensi menyelesaikan masalah dalam dunia sebenar. Contoh pentaksiran alternatif dalam kursus pengaturcaraan tersebut membolehkan pelajar menguasai proses menganalisa keperluan aplikasi yang hendak dihasilkan, mereka bentuk paparan laporan prestasi, menulis kod aturcara, dan merancang sesi pembentangan menggunakan data daripada masalah sebenar. Demikian juga dengan contoh pentaksiran alternatif dalam kursus Asas Keselamatan Maklumat yang dinyatakan dalam Rajah 2. Pelajar bukan lagi menghafal tetapi berpeluang menjalankan aktiviti pemindahan pengetahuan kepada komuniti dan seterusnya memperkukuh kefahaman terhadap kandungan topik kursus secara amali. Tugasan yang melibatkan industri dan komuniti pastinya memerlukan kepada kefahaman yang jelas terhadap kandungan bahan teras yang berkaitan.

Malahan pelajar tidak terkecuali dalam  menghadapi pelbagai kekangan suasana persekitaran ketika menghadapi masalah dunia sebenar.  Di sini kita dapat memerhatikan kemahiran dan kompetensi berpadanan dengan sikap, pengetahuan dan kefahaman terhadap bahan PdP dalam menyelesaikan tugasan yang sebenar.  Selain itu pentaksiran alternatif ini juga membolehkan pelajar mendapat maklum balas yang realistik dan cepat semasa aktiviti dilaksanakan. Sebaliknya kaedah konvensional memerlukan masa menunggu untuk mendapatkan maklum balas pensyarah. Setiap jawapan perlu disemak dan dinilai oleh pensyarah walaupun masalah diberi tidak mencabar dan tiada kena mengena dengan dunia sebenar.

Tanggungjawab merealisasikan transformasi PdP dan pendekatan pentaksiran alternatif perlu digalas dengan baik oleh warga akademik di IPT. Teras dalam EXCEL perlu dilaksanakan dalam penawaran program akademik hari ini. Pensyarah perlu bersedia untuk lebih kreatif mereka bentuk aktiviti PdP dan pentaksiran alternatif yang lebih dinamik dan berkualiti. Hasrat pembangunan EXCEL dan pentaksiran alternatif adalah pilihan terbaik ke arah menyediakan bakat tersedia masa hadapan yang mempunyai kemahiran dan kompetensi lestari.

 

 

Oleh: 

Prof. Madya Dr. Noor Azah Samsudin

Ketua Jabatan Kecemerlangan Akademik

Pusat Pembangunan Program dan Kecemerlangan Akademik, UTHM

dan,

Dr. Shamsul Kamal Ahmad Khalid, CISSP

Ketua Program Sarjana Sains Komputer (Keselamatan Maklumat)

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UTHM

 

 

 

 

 

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe