Ketika inflasi melanda negara, rakyat mula menghadapi krisis kenaikan harga barangan. Paling terkesan kenaikan harga makanan mentah mahupun yang telah dimasak. Ramai pengguna menyedari bil runcit mereka meningkat dan keupayaan membeli mereka semakin terhad.

Harga pembelian produk makanan terus menjadi mahal termasuklah sayur-sayuran, bijirin dan daging serta protein haiwan lain. Kebanyakan masyarakat mula mengeluh dan tertekan dengan inflasi makanan yang lebih tinggi iaitu pada kadar 4.1 peratus. Dalam laporan indeks harga pengguna Jabatan Perangkaan Malaysia April, 89.1 peratus barangan dalam kumpulan makanan dan minuman telah merekodkan berlakunya kenaikan harga.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa kerajaan akan sentiasa memastikan inflasi di negara ini kekal rendah dan telah menubuhkan pasukan khas iaitu ‘Jihad Tangani Inflasi’ untuk tujuan pemantauan. Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kadar inflasi yang kekal terendah di dunia iaitu pada kadar 2.8 peratus. Pasukan petugas baharu itu juga akan memantau harga barang dan perkhidmatan yang mungkin menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi, selain ayam, telur dan minyak masak.

Menurut beliau juga sehingga hari ini orang ramai mungkin tidak menyedari komitmen kerajaan dalam melaksanakan langkah kawalan harga terutama terhadap barangan keperluan dengan pemberian sedikit subsidi.

Sebagai pengguna, kita perlu menghadapi masalah inflasi ini dengan bijak. Berikut merupakan langkah yang boleh kita laksanakan ketika meghadapi krisis kenaikan harga barang:

  1. Makan di rumah

Memilih makan di luar adalah cadangan yang memerlukan bajet yang lebih. Banyak makanan yang anda bayar di restoran rasmi boleh dibuat di rumah dengan bajet yang sedikit. Kopi yang baik pun lebih murah untuk dibancuh jika anda melakukannya sendiri. Makanan segera dikecualikan daripada hal ini. Walaupun makanan berkalori tinggi dan berkualiti rendah boleh didapati pada harga yang murah, kesan ke atas kesihatan jangka panjang mengatasi manfaat penjimatan jangka pendek.

  1. Rancang pembelian barangan mingguan atau bulanan.

Jika anda membuat pembelian dalam talian atau pergi membeli di sekitar kedai runcit dan mengisi troli anda dengan semua yang diingini (kehendak), anda mungkin akan berbelanja lebih daripada sepatutnya. Oleh itu senaraikan dahulu barangan apa yang perlu dibeli dirumah. Rancang makanan atau menu masakan anda untuk minggu hadapan dan catat dengan teliti bahan-bahan yang diperlukan. Setelah siap senarai barangan, belilah item yang hanya ada dalam senarai selain mengelakkan pembelian mengejut.

  1. Peka dengan papan tanda/tanda harga barang makanan

Jika anda perlu membeli barang secara tergesa-gesa, gunakan cara yang paling mudah untuk pergi ke kedai yang berdekatan dan terus ambil barang yang mahu dibeli sahaja. Tip ini untuk mengelakkan anda terdorong atau tergoda untuk membeli barangan lain seperti makanan ringan. Sentiasa peka dengan tanda harga atau papan tanda barang makanan yang biasanya ada disediakan di pusat beli belah. Ini bagi memudahkan anda mengatur bajet bagi setiap pembelian. Kebanyakan keperluan dan barangan memasak asas ditemui di sepanjang perimeter luar kedai, jadi mulakan di sana dan berjalan di sekitar pinggir kedai, hanya melangkah ke dalam lorong tertentu untuk mengambil apa-apa barang yang tertinggal dalam senarai anda.

  1. Makan sebelum anda membeli-belah

Apabila anda lapar dan anda masuk ke dalam bangunan yang penuh dengan makanan,  berkemungkinan besar anda akan mengisi troli anda dengan pembelian yang tidak perlu dan melebihi bajet anda. Untuk mengurangkan kos, makan dahulu di rumah agar dapat membeli-belah dengan perut kenyang.

  1. Elakkan membeli makanan sedia dimakan

Kesibukan tugas harian menuntut masyarakat untuk menjimatkan masa dengan membeli makanan sedia dimakan. Makanan sedia dimakan mudah dibeli tetapi disertakan dengan tanda harga premium. Daripada meletakkan ayam panggang dan salad makaroni ke dalam troli anda, apa kata belilah bahan-bahan dan sediakan hidangan itu sendiri. Konsep yang sama digunakan untuk hidangan sejuk beku, makanan yang dibakar dan sebarang makanan lain yang disediakan.

  1. Elakkan membeli belah dengan si kecil

Perkara ini pasti agak sukar bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil. Kanak-kanak akan sentiasa mendorong anda membeli makanan atau barangan lain yang mereka suka. Sebaiknya jika boleh, tinggalkan anak-anak dengan penjaga yang selamat sebelum anda membuat pembelian makanan di kedai.

Penulis berharap tip ini mampu membantu anda menghadapi masalah inflasi makanan dengan lebih tenang. Kadangkala kita perlu lebih bermotivasi walaupun kenaikan itu sentiasa berlaku disebabkan situasi dunia yang masih belum bebas dengan penularan pandemik Covid-19. Kita adalah pengguna berhemah dan kita pasti dapat melakukannya.

 

 

 

Dr. Noraziahtulhidayu Kamarudin

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)