Media sosial: selamatkah maklumat peribadi anda?

Berkembang, dan akan terus bertambah. Itulah istilah yang paling tepat bagi menggambarkan pengguna media sosial yang terus bertambah dari hari ke hari. Pada era kemajuan teknologi ini, pelbagai jenis telefon pintar dengan pelbagai fungsi canggih dibina dan dilancarkan setiap tahun yang mana kadangkala, mencecah puluhan model baharu daripada pelbagai syarikat pengeluar. Selain itu promosi pelbagai pakej telefon pintar bersama data jalur lebar yang menarik, turut menjadi penyumbang terbesar kepada pertambahan pengguna media sosial di negara kita.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), 28 juta pengguna media sosial direkodkan di Malaysia, iaitu bersamaan 86 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Statistik ini merupakan sesuatu yang telah dijangkakan terutamanya ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, yang mana kebanyakan rakyat Malaysia perlu mematuhi arahan untuk kekal di rumah termasuk ketika musim perayaan khususnya pada tahun 2020 dan 2021 disebabkan pandemik Covid-19. Keadaan tersebut memberi ruang kepada lebih ramai pengguna baharu agar mereka kekal berhubungan terutamanya bagi urusan-urusan rasmi yang perlu dilalukan secara dalam talian.

Di peringkat global, satu portal kajian telah dilakukan, seramai tujuh pengguna baharu dicatatkan mendaftar akaun di media sosial setiap saat. Salah satu proses wajib yang perlu dilengkapkan ketika proses pendaftaran adalah mengisi maklumat-maklumat peribadi. Tambah membimbangkan, maklumat aktiviti harian pengguna turut direkodkan termasuk jenis aktiviti, bila, di mana, serta senarai rakan-rakan yang terlibat turut direkodkan pada masa sebenar.

Namun, persoalanya adakah maklumat dan data-data peribadi ini selamat di media sosial? Perkara ini adalah amat penting dan perlu diteliti oleh semua pengguna di semua peringkat umur. Selain itu, pertambahan pesat pengguna di media sosial, turut mengundang risiko isu-isu berkaitan data privasi pengguna, kes-kes kecurian dan penjualan data maklumat peribadi, serta pertambahan kes-kes jenayah yang berpunca daripada ketirisan data-data daripada media sosial.

Menurut kaji selidik yang dilancarkan oleh SKMM, pengguna telefon pintar paling ramai adalah daripada kumpulan umur 35 tahun dan kebawah. Dapatan kajian menunjukkan 62.5 peratus daripada pengguna memberi respon tidak tahu atau tidak biasa dengan fungsi keselamatan identiti, 17.8 peratus menyatakan agak tahu atau agak biasa dan hanya 19.6 peratus menyatakan tahu dan biasa dengan fungsi tersebut. Ini membuktikan bahawa kadar kesedaran pengguna berkaitan pentingnya menjaga data-data dan maklumat peribadi di media sosial masih ditahap yang membimbangkan.

Ini kerana, masih ramai pengguna yang masih tidak endah akan kepentingan menjaga maklumat-maklumat peribadi mereka, termasuk tidak cakna akan fungsi-fungsi keselamatan yang telah disediakan oleh syarikat pembina dan penyedia laman media sosial. Ini secara tidak langsung memberi ruang berterusan kepada penjenayah-penjenayah siber untuk terus melakukan aktiviti jenayah siber mereka termasuk jenayah penipuan dalam talian dan kecurian maklumat peribadi untuk melakukan aktiviti jenayah.

Walau bagaimanapun, usaha mencegah perlu dilakukan secara berterusan daripada pelbagai pihak terutamanya pengguna media sosial itu sendiri selain pihak berkuasa dan kerajaan yang mengadakan pelbagai kempen kesedaran, agar pengguna lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

 

 

Dr. Nordiana Rahim

Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe