Oleh Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim
Keperluan melahirkan para pelajar yang mampu memenuhi kehendak industri adalah merupakan salah satu elemen yang diambil kira dalam kebolehpasaran graduan universiti.
Selaras dengan matlamat UTHM untuk meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan dan keterlihatan fakulti mahupun universiti, penganjuran program bermanfaat perlu dilaksanakan bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan berdaya saing.
Atas dasar inilah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program “Pengurusan Komunikasi dan Keterampilan Hebat” yang melibatkan penyertaan 40 pelajar dari pelbagai bidang kursus.
Program di bawah penyelarasan Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim yang berimpak tinggi ini dianjurkan bagi melahirkan para pelajar yang mampu untuk meningkatkan kemahiran insaniah khususnya dalam bidang komunikasi dan sahsiah.
Menurut beliau, inisiatif ini dilihat perlu diberikan penekanan khususnya kepada Jawatankuasa Majlis Tertinggi Pelajar FPTP, yang mana ia adalah merupakan peneraju utama yang memimpin pengurusan para pelajar di fakulti.
Justeru itu, keperluan memperkasakan kemahiran insaniah khususnya kemahiran komunikasi dilihat merupakan tunjang utama dalam pengurusan sesebuah organisasi.
“Program seumpama ini dapat memberi impak yang positif dalam memperkasakan elemen kemahiran insaniah khususnya kemahiran penyampaian komunikasi dan kesahsiahan dalam sesebuah organisasi, meningkatkan kualiti kerja dan idea terkini dalam pengurusan berkesan terutama berkaitan pengurusan kelab/persatuan/organisasi pelajar.
“Program ini juga bertujuan meningkatkan persefahaman serta mewujudkan nilai harmoni dalam diri pelajar,” katanya.
Dua penceramah iaitu Puan Anim Zalina Azizan dan Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan yang mempunyai pengalaman besar dalam pengurusan organisisasi, komunikasi dan keterampilan telah dijemput bagi menjayakan program ini.
Pelbagai elemen pengurusan organisasi, pengurusan komunikasi dan keterampilan hebat didedahkan kepada para peserta.
Antaranya kaedah mengenal diri, penyampaian komunikasi individu, penyampaian komunikasi organisasi, kaedah lontaran komunikasi, etika penampilan yang betul mengikut situasi dan kaedah keterampilan hebat merupakan antara modul yang dikongsikan sepanjang program berlangsung.
Aktiviti secara berkumpulan dan kaedah praktikal persembahan juga digunakan dalam kaedah penyampaian agar memberi impak kepada para pelajar sepanjang program berlangsung.
Pihak FPTP berharap program seperti ini dapat dianjur secara berterusan bagi meningkatkan lagi nilai kebolehpasaran pelajar agar mereka lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan sebenar.