FPTP bakal jalin kerjasama antarabangsa dengan dua institusi pendidikan

Oleh Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

BATU PAHAT,22 Mac 2022 – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) telah mengadakan perbincangan awal secara dalam talian berkaitan peluang jalinan kerjasama antarabangsa antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Education Malaysia London dan Southampton University, United Kingdom.

Sesi perbincangan yang diusahakan oleh Pengarah Education Malaysia London, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamad Zabri ini turut melibatkan beberapa wakil dari Southampton University iaitu Professor Stephen Onggo, Pengarah Pengantarabangsaan Fakulti Perniagaan; Dr. Fatimah Zainudin, Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ms Song Utz, Senior Eksekutif, Pejabat Antarabangsa merupakan langkah awal dalam usaha menjalinkan kerjasama antarabangsa antara dua pihak.

Perbincangan yang berlangsung hampir satu setengah jam dimulakan dengan pengenalan EM London oleh Dr. Shafie, disusuli dengan pembentangan pengenalan UTHM dan FPTP secara ringkas yang disampaikan oleh wakil fakulti, Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan.

UTHM juga turut diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Sr. Dr. Azlina Md Yasin dan Ts. Dr.Sasitharan Nagapan, Ketua Jabatan Global Programme and Networking, Pejabat Antarabangsa.

Usaha ke arah jalinan kerjasama ini juga turut disertai oleh dua wakil dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sarawak iaitu Dr. Nur Aida Kipli, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pengurusan dan Pengajian Polisi dan  Profesor Madya Dr. Jati Kasuma Ali, yang bertugas di Fakulti Pengurusan Perniagaan.

Pada pertemuan itu juga, kesemua pihak telah mengadakan perbincangan lanjut secara dua hala dan bersetuju untuk mengadakan beberapa kolaborasi dalam bidang yang berpotensi untuk dikembangkan.

Antara aktiviti kolaborasi dibincangkan adalah sesi webinar secara dalam talian, lantikan pemeriksa luar, pensyarah jemputan dan professor pelawat.

Pihak Southampton University juga menyambut baik beberapa cadangan aktiviti kolaborasi untuk jangka masa panjang seperti menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua pihak, persidangan antarabangsa dan mobiliti program untuk pelajar dan juga staf.

Hasil daripada sesi perbincangan antara empat pihak ini dilihat telah membuka ruang kepada pihak UTHM dalam meningkatkan lagi visibiliti dan kerjasama dua hala di peringkat antarabangsa dalam perspektif akademik mahupun penyelidikan dan pembangunan.

Usaha ini amat siknifikan dalam memastikan sasaran UTHM ke arah Global Technopreneur University pada tahun 2030 (GTU 2030) dapat dicapai.

 

Categories
AntarabangsaPengurusan Teknologi Perniagaan
Subscribe