STU UTHM sumbang kepakaran di Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia

Kredit foto: UKK@KPLB

KLUANG, 9 Mac 2022 – Syarikat Terbitan Universiti (STU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut sama menyumbang kepakaran untuk pembangunan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Desa (PKD) Layang-Layang, Kluang, Johor.

Ruang reka yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri II Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YB Haji Hasbi Haji Habibollah pada 9 Mac ini diwujudkan sebagai sebuah fasiliti yang menyediakan platform hab reka cipta, teknologi dan inovasi kepada komuniti.

Pelaksanaan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini bertujuan untuk membudayakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam membantu meningkatkan kemahiran penciptaan inovasi berkualiti dalam kalangan masyarakat.

Muhammad Shukri Ahmad, salah seorang teknousahawan UTHM telah menyumbang kepakaran beliau di dalam program peningkatan inovasi masyarakat setempat tersebut.

Shukri dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menjalankan empat modul aktiviti iaitu rekabentuk 3D, robotik, dron dan studio digital.

Dengan adanya ruang reka ini, ia dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.

Sementara itu, YB Hasbi mewakili kementerian turut merakamkan penghargaannya kepada pihak UTHM di atas sumbangan yang diberikan dan berharap kerjasama yang terjalin akan berterusan selepas ini.

UTHM turut menyumbang set robotik dan buku panduan programming kepada ruang reka berkenaan bernilai RM1000 sebagai galakan kepada golongan muda setempat untuk terus menerapkan budaya berinovasi.

 

*Muhammad Shukri Ahmad (dua dari kiri), teknousahawan UTHM telah menyumbang kepakaran beliau di ruang reka berkenaan.

*UTHM sumbang set robotik dan buku panduan programming kepada Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang, Kluang, Johor..

Categories
Penyelidikan dan InovasiSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe