UTHM bangunkan kit pengesan kebakaran hutan tanah gambut

Sesi demonstratsi SMORTEC yang dilakukan semasa berlangsungnya majlis perasmian.

Usaha gigih pasukan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuahkan hasil apabila buat pertama kalinya berjaya membangunkan kit pengesan kebakaran hutan tanah gambut yang dinamakan Sistem Pemantauan Pengesan Asap Pintar (SMORTEC).

Inovasi yang dihasilkan ini adalah rentetan pengesanan kebakaran awal hutan tanah gambut di Hutan Simpan Ayer Hitam Muar, Johor.

Ia selaras dengan polisi pelan tindakan di dalam dasar perhutanan Malaysia yang dilancarkan pada 31 Mac 2021 yang menekankan pentingnya usaha mengawal kebakaran hutan bagi mengekal dan meningkatkan keluasan kawasan hutan dan litupan pokok.

Inisiatif yang dijalankan ini menggunakan kit pengesan awal kebakaran yang mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) dan merupakan salah-satu bidang kepakaran sedia ada di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM.

SMORTEC dilengkapi dengan teknologi IoT yang menggunakan tenaga solar dan beberapa unit penderia yang berupaya mengesan kehadiran asap, mengukur kepanasan dan kekeringan kawasan tanah gambut secara masa nyata.

Sistem ini dibangunkan bertujuan membantu pihak berwajib memantau kebakaran hutan dengan lebih berkesan dan bersistematik sekali gus dapat mengelak kelewatan bantuan daripada pihak berkuasa.

Antara ciri SMORTEC termasuklah menggunakan teknologi IR4.0, berteknologi hijau, penggunaan kuasa, data dan kos penyelenggaraan yang rendah, kebolehpercayaan yang tinggi, liputan tanpa had dan mematuhi piawaian industri.

SMORTEC dipasang di tiga lokasi pilihan termasuk di Parit Lajis, Parit Kelantan dan Hutan Simpan Tambahan. Pemilihan tempat ini dibuat berdasarkan kawasan yang paling berisiko terjadinya kebakaran hutan.

Majlis perasmian pemasangan SMORTEC telah diadakan pada 15 Februari 2022 bersempena mesyuarat khas pengarah-pengarah perhutanan negeri semenanjung Malaysia.

Turut hadir ke majlis tersebut, Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Haji Salim Aman dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa.

Satu sesi demonstrasi turut dilakukan semasa hari perasmian yang disaksikan oleh Pengarah Perhutanan Negeri, wakil UTHM, staf pejabat hutan negeri-negeri serta wakil media.

 

*Sistem Pemantauan Pengesan Asap Pintar (SMORTEC)

 

*Peta lokasi pemasangan SMORTEC

 

Senarai penyelidik yang terlibat:

  1. Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin (FAST)
  2. Dr. Nor Azizi Yusoff (FKAAB)
  3. Dr. Shipun Anuar Hamzah (FKEE)
  4. Ts. Mohamad Md Som (PPD)
  5. PM Dr. Wahyu Mulyo Utomo (FKEE)
  6. PM Dr. Mohammad Sukri Mustapa (FKMP)
  7. Dr. Mohd Shamian Zainal (FTK)
  8. Dr. Rahmat Talib (FKEE)
  9. Dr. Ansar Jamil (FKEE)
  10. Ts. Mohd Hamim Sanusi@Ikhsan (PPD)
  11. Ts. Azmi Sidik (PPD)
Categories
Penyelidikan dan InovasiProduk
Subscribe