BATU PAHAT – Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah berjaya memenangi Anugerah Spesense Sonny ketika menyertai pertandingan Multi-GNS Asia Rapid Prototype Development Challenge 2021 (MGA RPD Challenge 2021).

Anugerah yang diperolehi itu hasil daripada penyertaan projek ‘Monitoring Elephant Behavior During Disaster Using Geomatics Technology.’

Projek ini  merupakan salah satu usaha pasukan penyelidik geran Pembangunan Rangka Kerja Penghasilan Laluan Semula Gajah Taman Negara Rompin dalam merealisasikan hasil kajian tersebut.

Pertandingan antarabangsa yang bermula pada Ogos 2021 sehingga 11 Mac 2022 kali ini bertemakan “Penyelesaian untuk Pengurusan Bencana :Tsunami / Banjir.”

Sepanjang tempoh itu para peserta pertandingan diberikan pelbagai tugasan untuk dilaksanakan.

Menurut Dr. Nazirah, kumpulan beliau menyertai pertandingan tersebut pada mulanya sekadar ingin menimba ilmu, pengalaman serta teknologi baharu daripada pihak penganjur yang sememangnya sangat terkenal dalam bidang Global Navigations Satellite System (GNSS).

Tambah beliau, cabaran Pembangunan Prototaip Pantas (RPD) ialah Hackathon kerja tangan yang mana pasukan perlu mencipta prototaip dengan sumber dan masa yang terhad.

“Pakar yang dilantik oleh pihak penganjur bertindak sebagai mentor yang akan memberi bimbingan serta galakan kepada peserta untuk menghasilkan prototaip yang berinovasi dengan kaedah penyelesaian kreatif bagi menangani isu kehidupan,” katanya lagi.

Pertandingan antarabangsa yang julung kali disertai oleh wakil daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini terbuka kepada industri, institusi serta pertubuhan bukan kerajaan.

Daripada 37 kumpulan yang menyertai pertandingan berkenaan, hanya 12 kumpulan sahaja berjaya ke peringkat akhir.

Keputusannya, lima prototaip telah terpilih untuk meraih Anugerah Spesense Sonny daripada Sony Group.

“Kami sangat bersyukur kerana prototaip yang dihasilkan ini berjaya menarik perhatian para panel.

“Ini kerana pasukan ini menjadi kumpulan tunggal yang mengetengahkan isu menyelamatkan hidupan liar berbanding peserta lain yang hanya mengfokuskan isu menyelamatkan manusia ketika tsunami atau banjir.

“Anugerah ini menjadi satu pengalaman yang sangat berharga kepada saya dan rakan-rakan yang pada mulanya hanya sekadar mahu mencuba dan menimba ilmu baharu,” katanya.