Oleh Siti Hajar Bidin

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysa (UTHM) menerima kunjungan Profesor Dr. Masutani Satoshi dari College of Tourism Rikkyo University, Jepun pada 28 Februari lalu bagi melihat peluang kerjasama dua hala yang boleh dilaksanakan oleh dua institusi ini.

Kunjungan beliau ke Batu Pahat juga bertujuan untuk menjejaki sejarah peninggalan Jepun sekali gus sebagai usaha mempromosi industri pelancongan di daerah ini kepada masyarakat Jepun.

Prof. Masutani turut mengadakan kunjungan tidak rasmi beliau ke Pusat Pengajian Bahasa (PPB) untuk berbincang dengan Dekannya, Dr. Haji Azmi Abdul Latiff berkaitan program-program yang dijalankan oleh pusat berkenaan dan juga program-program yang ada di Rikkyo University.

 

 

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut melihat peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan antara PPB dan Rikkyo University.

Prof. Masutani turut dibawa melawat Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) dan diberi taklimat berkaitan Projek Penyelidikan dan Innovasi Budaya dan Warisan Johor atau singkatannya RICHER yang disampaikan oleh Ketua Pustakawan, Zaharah Abd Samad selaku ketua projek.

Projek hasil cetusan idea Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar ini bertujuan untuk menjenamakan penyelidikan dan innovasi dalam warisan budaya dan sejarah Johor dengan menggunakan tenaga serta kepakaran staf di UTHM.

Pada sesi tersebut, Prof. Masutani juga turut melihat pameran barangan tinggalan sejarah yang  dijumpai di salah sebuah estet yang terletak di Kota Tinggi Johor.

 

 

Barangan yang ditemui oleh ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat, Mohd Azlan Dato’ Mohd Sharif tersebut dipercayai mempunyai perkaitan dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua.

Selain itu, Prof. Masutani yang ditemani staf PPB, Hiyama Junko dan Siti Hajar Bidin juga dibawa melawat beberapa tempat sekitar Batu Pahat yang mempunyai sejarah dan perkaitan dengan masyarakat dan negara Jepun satu ketika dahulu.

Walaupun kunjungan daripada wakil Rikkyo University ini agak singkat, aktiviti seumpama ini sangat membantu UTHM untuk lebih dikenali di peringkat antarabangsa, di samping dapat mempromosi Batu Pahat sebagai sebuah bandar eko-pelancongan yang kaya dengan khazanah alam, budaya dan nilai sejarah.