SWIDWEB guna BSFL bantu kitar semula sisa makanan jadi baja organik

Frass (hasil akhir kitar semula sisa makanan) selamat digunakan ke atas tanaman sebagai baja organik kerana kandungan ammonia di dalamnya yang sangat rendah.

Swidweb Solutions, syarikat terbitan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. Johor mengambil inisiatif mengumpul sisa makanan daripada komuniti setempat dan juga restoran berhampiran bagi membantu mengurangkan sisa makanan terbuang di tapak pelupusan sampah.

Bagi mengitar semula sisa makanan, sekumpuan penyelidik UTHM telah menggunakan teknik Black Soldier Fly Larva (BSFL) untuk menghasilkan baja organik yang lebih mesra alam.

Terdahulu, pada tahun 2021 seramai 100 peserta telah menyertai program pengumpulan sisa ini dan mereka berjaya mengumpul kira-kira 15000 kilogram sisa makanan untuk dikompos lalu dijadikan baja organik.

Menurut ketua projek, Prof. Madya Ir. Dr. Noor Yasmin Zainun BSF adalah spesies serangga yang pada awalnya diakui sebagai sumber protein alternatif untuk makanan haiwan.

“Namun begitu kajian juga menunjukkan ia dapat membantu dalam proses penguraian sisa makanan untuk menghasilkan baja organik berkualiti bagi kegunaan bercucuk tanam dan komersial.

“Penggunaan BSFL untuk proses penguraian sisa makanan dan menjadikannya baja organik merupakan kaedah yang dikesan paling selamat dan mesra alam,” jelas Dr. Yasmin.

Proses penghasilan baja kaedah BSFL ini sangat membantu untuk kelestarian alam sekitar dan boleh mengurangkan pencemaran dari sisa buangan makanan. Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan baja organik ini, bolehlah hubungi melalui email nryasmin@uthm.edu.my  atau melalui talian 010-8620444.

 

Ulat BSF yang matang akan berwarna hitam

Pembungkusan frass (hasil akhir) sebagai baja organik.

Categories
Penyelidikan dan InovasiProduk
Subscribe