BATU PAHAT, 19 Jan 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Fasyeera Empire Sdn Bhd. CHARMS Cosmetic Products menjalinkan kerjasama dalam aktiviti penyelidikan, penerbitan dan perundingan bagi meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.

Terjalinnya kerjasama ini adalah bagi memenuhi keperluan industri kosmetik termasuk status halal yang melibatkan sejumlah dana penyelidikan sumbangan pihak Fasyeera Empire.

Dana ini didaftarkan melalui dua jenis geran iaitu geran industri sebanyak RM50 ribu dan geran sepadan sebanyak RM20 ribu oleh pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UTHM.

Kerjasama UTHM-CHARMS juga bertujuan memberi kemahiran dan nilai tambah kepada para penyelidik termasuk staf dan pelajar UTHM khususnya di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV). Selain itu, kerjasama ini juga untuk mengeratkan lagi hubungan bersama pihak industri, melalui Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), UTHM sebagai perundingcara.

Majlis Menandatangani Kerjasama Kajian Penyelidikan dan Simbolik Pertukaran Dokumen Letter of Intent (LoI) antara UTHM dan Fasyeera Empire yang berlangsung di Bilik Banquet, Dewan Sultan Ismail ini menyaksikan Pengarah, lnstitut Ahli Sunnah WalJamaah UTHM, Ustaz Mustapahayudn Abdul Khalim mewakili universiti menandatangani dokumen manakala Fasyeera Empire Sdn Bhd. CHARMS Cosmetic Products. pula  diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Bashira Hussin.

Pada majlis ringkas tersebut, Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar dan Ketua Pegawai Operasi, CHARMS, Tuan Nik IIman Fahmi Nik Ismail turut hadir sebagai saksi perjanjian.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Profesor Madya Ir Ts. Dr. Shahiron Shahidan, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Profesor Madya Dr. Mohamad Zaky Noh, Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Profesor Madya Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, pegawai-pegawai universiti dan wakil daripada pihak industri.