KUANTAN – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pemacu pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar apabila Projek Hidroponik Sifar Karbon Pintar Fasa 1 berjaya dilaksanakan di Pangkalan Udara Kuantan di bawah pelaksanaan Program Ekonomi MADANI.

Projek berteraskan pertanian pintar itu bertujuan memperkasa komuniti ‘Bakat’ dalam menjana pendapatan secara mampan melalui aplikasi teknologi hijau dan inovasi berimpak tinggi, selari dengan aspirasi Program Ekonomi MADANI serta agenda pembangunan lestari negara.

Sesi pemantauan projek telah dihadiri oleh Pengerusi Bakat PU Kuantan Rosdiana Mat Yakim, bersama delegasi UTHM yang diketuai oleh Dr. Nurul Nadia Adnan, Ketua Jabatan Masyarakat dan Pemindahan Ilmu, ICRC pada Januari lalu.

Projek itu mengaplikasikan teknologi Agro-IoT, hasil penyelidikan oleh Dr. Ansar Jamil dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), UTHM yang membolehkan pemantauan pintar secara masa nyata terhadap parameter kritikal sistem hidroponik termasuk penggunaan tenaga, persekitaran tanaman dan kecekapan operasi.

Pendekatan itu menyokong pelaksanaan konsep sifar karbon melalui pengoptimuman sumber dan pengurangan jejak karbon dalam aktiviti pertanian komuniti.

Menurut Dr. Nurul Nadia, pencapaian awal mendapati projek itu telah berjaya merekodkan hasil tuaian sebanyak 30 kilogram sawi dan 20 kilogram bayam, sekali gus membuktikan keberkesanan teknologi hidroponik pintar dalam meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil tanaman.

”Selain berfungsi sebagai tapak pengeluaran pertanian moden, projek itu turut menjadi platform latihan, pemindahan ilmu dan pembangunan kemahiran kepada komuniti setempat dalam bidang pertanian pintar, teknologi Internet Benda (IoT) dan keusahawanan hijau.

”Pelaksanaan Projek Hidroponik Sifar Karbon Pintar ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan ke fasa seterusnya bagi memperkukuh impak ekonomi dan sosial kepada komuniti Bakat, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan UTHM dalam menjayakan agenda Program Ekonomi MADANI melalui inovasi dan pemindahan ilmu berimpak tinggi,” katanya.