Oleh Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

BATU PAHAT,15 Mac 2022 – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan balas daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) setelah kedua-duanya selesai menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) pada 24 Januari 2022 lalu.

Program lawatan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Perpustakaan Tunku Tun Aminah ini dikendalikan oleh Jabatan Pengurusan Pembinaan (JPP), FPTP di bawah penyelarasan Profesor Madya Dr. Haryati Shafii.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan lanjut setelah bersetuju untuk mengadakan kolaborasi dalam bidang yang berpotensi untuk dikembangkan seperti yang termaktub dalam MoU.

UTHM diwakili oleh Dekan FPTP, Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Fauzi, Timbalan-timbalan Dekan FPTP dan Penyarah FPTP, Profesor Madya Ir.  Ts. Dr. Shahiron Shahidan dari Research Management Centre (RMC), Profesor Madya Dr. Phang Chan dari FAST dan Dr. Nadirul Hasraf Mat Nayan dari Pusat Hubungan industri dan Masyarakat (ICRC) serta dan dua wakil pensyarah daripada FKAAB.

Manakala UTAR pula diwakili oleh Ts. Profesor Dr. Faidz Abdul Rahman, Timbalan Presiden (R&D and Commercialisation); Profesor Dr. Zuraidah Abd Manaf, Pengarah (Division of Strategy and Performance  Measurement); Dr. Yong Thian Khok, Pengarah (Institute of Postgraduate Studies and Research); Hamrizal Haris, Pengurus (Department of Consultancy & Commercialisation) dan Dr. Lee Sheng Chyan, Ketua (Unovate Centre).

Perbincangan yang berlangsung selama tiga jam itu dimulakan dengan ucapan daripada Prof. Wan Fauziah dan Prof. Faid, diikuti sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPTP, Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom.

Kedua-dua belah pihak telah membentangkan visi, misi, perancangan dan strategik universiti ke arah mencapai matlamat masing-masing.

Perbincangan tersebut turut memfokuskan bidang penyelidikan, penerbitan berimpak, peluang untuk berkolaborasi dan dalam pelbagai bidang.

Turut diadakan, sesi lawatan ke beberapa pusat tanggungjawab (PTj) di UTHM dengan menaiki bas elektrik. Antaranya lawatan ke Makmal Komputer dan Geotek, FKAAB, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), beberapa makmal penyelidikan berkaitan dan Pusat Pembelajaran Maya untuk melihat produk terbaharu mereka  iaitu MAYA.

Hasil maklum balas yang diterima, delegasi UTAR dilihat sangat teruja dengan produk MAYA dan turut berpuas hati dengan keseluruhan program lawatan ke UTHM.

Mereka turut mengundang pihak UTHM untuk mengunjungi UTAR sekali lagi terutama Kampus Cawangan Kampar, Perak pada masa akan datang.