BATU PAHAT, 22 Feb 2022 – Pernah berputus asa untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah, Nurul Atiqa Noor Bi, graduan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akhirnya bangkit semula demi memastikan masa depan bersama anaknya lebih terjamin.

Atiqa, 26 merupakan salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah dengan Kepujian yang turut menerima ijazah ketika berlangsungnya Majlis Penyampaian Skrol Graduan 2020 sempena Konvokesyen ke-20 UTHM.

“Saya berkahwin pada usia yang agak muda, malangnya jodoh saya berakhir selepas  melahirkan anak pada tahun 2017.

“Saya masih ingat sewaktu kandungan berusia tujuh bulan, saya berulang alik ke kelas setiap hari menaiki bas loceng sejauh 20 kilometer.

“Selepas berpisah, pada awalnya saya hanya menangguhkan pengajian untuk satu semester sahaja, tetapi disebabkan rasa putus asa, saya bercadang untuk menamatkan sahaja pengajian di UTHM,” katanya.

Tambahnya lagi selepas bercuti selama setahun, dia mula mengubah fikiran dan kembali menyambung semula pengajian untuk tahun yang ketiga.

Namun pada ketika itu, dia sentiasa kesempitan wang untuk menampung kos pengajian dan membesarkan anak seorang diri.

“Mujur UTHM ada menyediakan beberapa bentuk bantuan untuk menjaga kebajikan pelajarnya, maka dapatlah saya mohon zakat untuk membayar separuh daripada yuran pengajian,” katanya.

Kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari memaksa Atiqa mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan sampingan.

“Saya mula berniaga kecil-kecilan di kawasan kampus namun hasil pendapatan tidak dapat menampung yuran pengajian, makan minum dan tambang bas pergi dan balik.

“Maka saya mengambil inisiatif untuk bekerja sambilan di sebuah pawagam berdekatan, bermula pukul 7 malam sehingga 2 pagi.

“Adakalanya saya tidak dibayar gaji mengikut masa yang dijanjikan menyebabkan urusan seharian saya agak terganggu dek kesempitan wang,” ceritanya lagi.

Walaupun pelbagai dugaan datang menimpa, berkat sokongan tanpa jemu daripada keluarga, pihak fakulti, para pensyarah dan rakan-rakan di UTHM, Atiqa akhirnya nekad mahu menghabiskan juga pengajiannya.

“Saya sangat berterima kasih kepada keluarga, arwah bapa saudara dan rakan sekelas yang banyak membantu saya satu ketika dahulu kerana tanpa mereka mungkin saya tidak lagi meneruskan pengajian di UTHM,” katanya.

Atiqa kini berkhidmat sebagai perunding hartanah di sebuah syarikat di Batu Pahat.

“Akhirnya kepayahan saya menuntut ilmu dahulu telah membentuk siapa saya hari ini.

“Saya menjadi seorang yang lebih tabah, kuat, berdikari dan berkebolehan sehingga mampu membantu keluarga dan membesarkan permata hati saya tanpa mengenal erti lelah,” katanya.

 

 

*Atiqa bersama rakan sekelas, Ungku Iffah Syahirah (kiri) yang banyak membantunya semasa belajar dahulu.