BATU PAHAT, 24 Feb 2022 – “Sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa/i Sabah, saya bertanggungjawab melaksanakan usaha memartabatkan identiti mahasiswa Sabah dengan memperkenalkan budaya, etnik dan tradisi masyarakat pribumi Sabah kepada seluruh warga kampus.

“Selain menuntut ilmu, usaha tersebut merupakan salah satu perjuangan saya sepanjang berada di UTHM,” kata Carlsten Guachin, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina.

Carlsten, 28 yang merupakan masyarakat pribumi daripada suku kaum “Dusun Tatana” melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menghadiri Majlis Penyampaian Skrol Graduan 2020 sempena Konvokesyen ke-20 UTHM yang tertangguh sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Dia kini sedang berkhidmat sebagai jurutera awam di salah sebuah syarikat perunding swasta (sivil dan struktur) di Sabah.