Industrial Talk CSIEM 2021 didik pelajar tingkat kemahiran, berani hadapi cabaran luar

Oleh Profesor Madya. Ts. Gs. Dr. Sulzakimin Mohamed

BATU PAHAT – Program 2nd Industrial Talk 2021 anjuran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Peniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 24 November 2021 lalu mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa, staf institut pengajian tinggi awam, pemain industri dan alumni UTHM.

Menurut Professor Madya. Dr. Md Asrul Nasid Masrom selaku moderator dan penyelidik utama CSIEM, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada mahasiswa tentang pengurusan projek yang pelbagai dan sedang berkembang pesat.

“Penganjurannya bertujuan memberi peluang kepada pelajar meneroka dan mengenalpasti potensi diri dalam pengurusan projek terutamanya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Program ini juga turut menggalakkan mahasiswa mencabar diri mereka untuk mendapat pemahaman yang lebih dalam bidang ini selain daripada pendidikan formal di universiti.

Program ini dilaksanakan dengan menjemput penceramah dari TRX City Sdn. Bhd. iaitu Ir. Mohd Raphel Affendy Mohamed Nazar, Timbalan Presiden, Design Management in TRX City Sdn Bhd.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan iaitu pengurusan projek khususnya berkaitan pengurusan sumber manusia, teknologi dan alam sekitar.

Tambah Dr. Asrul, program ini merupakan penganjuran kali kedua diadakan oleh CSIEM serta mendapat kerjasama daripada pemain industri dan agensi luar seperti CIOB Malaysia, TRX City dan Koperasi Makmur Bina Kuching Bhd.

“CSIEM berharap penganjuran program sebegini dapat memberi ilmu dan pendedahan berkaitan pengurusan projek dengan lebih mendalam.

“Moga program seumpama ini dapat diteruskan lagi memandangkan ianya berpotensi untuk memberi perspektif yang pelbagai kepada mahasiswa sekali gus membentuk mereka menjadi lebih berani dalam mengharungi cabaran dunia luar ketika menghadapi alam pekerjaan kelak,” katanya.

 

Categories
Pengurusan Teknologi Perniagaan
Subscribe