Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Batu Pahat, 23 September – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Pengeluaran (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Program FPTP Prihatin Bantuan Bakul Makanan untuk Masyarakat Parit Raja telah mengagihkan 30 bakul makanan kepada kira-kira 30 keluarga sekitar Parit Raja, Batu Pahat.

Program yang telah dijayakan oleh ahli jawatankuasa Kelab Staf FPTP dan ahli Kebajikan Masyarakat FPTP ini merupakan program ketiga selepas kejayaan menganjurkan program Jelajah Ramadan 2021 dan Program Bersama Anak Yatim di sekitar Parit Raja yang telah diadakan pada Ramadan lalu.

Menurut Ketua Program, Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad program ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu masyarakat sekitar Parit Raja yang terdiri dari golongan yang kurang bernasib baik dan keluarga yang terkesan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau yang merupakan Pengerusi Kelab Staf FPTP dan juga Ketua Kebajikan Masyarakat FPTP telah bekerjasama dengan ketua-ketua kampung yang ketuai oleh Majdan Jamain (Tok Dan).

Untuk merealisasikan tujuan ini, pihak fakulti telah mengambil langkah prihatin dengan mengumpul dana dalam kalangan warga FPTP untuk membeli barangan berbentuk keperluan dapur untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Sumbangan bakul makanan tersebut telah diagihkan oleh wakil FPTP yang diketuai oleh Dekan, Prof Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff bertujuan meringankan beban keluarga terbabit yang terkesan semasa tempoh PKP. Penyerahan bakul makanan itu telah dibuat kepada sembilan ketua kampung dalam satu majlis ringkas bertempat di rumah Ketua Kampung Parit Raja, Tok Dan.

Menurut Dr. Fauzi, UTHM merupakan universiti awam yang banyak menjalankan program khidmat komuniti bagi menzahirkan keprihatinannya kepada masyarakat setempat.

“Selain daripada kajian-kajian yang bermanfaat serta penyebaran ilmu yang boleh menambah nilai kepada masyarakat setempat, pihak kami juga prihatin dengan nasib keluarga yang terkesan semasa PKP.

“Sumbangan berbentuk wang ringgit dan niat untuk berkongsi rezeki jelas memperlihatkan warga FPTP sangat prihatin terhadap kepayahan masyarakat pada ketika ini, ” tambahnya lagi.

Sementara itu, Dekan FPTP pula mengucapkan tahniah di atas penglibatan semua pensyarah dan staf sokongan yang telah menjayakan program ini.

Beliau sangat berharap agar program seumpama ini mampu diteruskan lagi agar sikap prihatin dalam membantu masyarakat setempat dapat disemai dalam kalangan staf.

“Selain prihatin, matlamat program ini juga adalah untuk mengeratkan hubungan antara pihak universiti dengan masyarakat sekitar Parit Raja,” katanya.

Wakil ketua Kampung, Tok Dan juga mengucapkan terima kasih serta mengalu-alukan bantuan yang diberikan kepada penduduk kampung tersebut serta berharap kerjasama dengan pihak universiti dapat diteruskan pada masa akan datang.

“FPTP Prihatin merupakan satu program yang sangat baik kerana dapat membantu masyarakat yang memerlukan.

“Pihak saya sangat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dalam menjayakan program seperti ini ” tambahnya lagi.

Untuk rekod, program UTHM prihatin pada tahun ini telah dilaksanakan dengan mengikut prosedur kawalan Covid-19 yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya berkaitan penjarakan sosial dan sentuhan fizikal dalam kalangan semua yang terlibat.

 

*Dekan FPTP berucap semasa majlis penyerahan bakul makanan