BATU PAHAT – Setelah 74 hari beroperasi, Pusat Pemberian Vaksin Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau PPV DSI UTHM menamatkan operasinya semalam, 3 Oktober 2021.

Menurut Penyelaras PPV DSI UTHM, Shereen Sabrina Abd Shukor sejak mula dibuka pada 15 Julai lalu, pusat ini telah memberi peluang kepada 160 ribu penduduk tempatan mendapatkan suntikan vaksin.

Manakala 96.4 peratus staf UTHM pula selesai divaksin, yang mana majoriti staf telah mendapatkan suntikan sepanjang pusat ini dibuka di kampus induk.

Untuk rekod, PPV yang dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam itu dibantu oleh sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar UTHM serta turut mendapat kerjasama daripada petugas kesihatan Health Care Organizations yang dilantik iaitu Putra Specialist Hospital, Batu Pahat.

“UTHM berbesar hati kerana PPV DSI UTHM telah menjadi sebahagian daripada penggerak dalam  membantu kerajaan mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin menjelang hujung tahun ini.

“Sepanjang PPV ini beroperasi, pihak universiti sentiasa cuba memberikan yang terbaik dengan menyediakan fasiliti yang lengkap, selesa, mesra warga emas dan OKU.

“Manakala para petugas dan sukarelawan kami juga turut memberi komitmen penuh dan sentiasa memberi layanan yang terbaik kepada pengunjung.

“Sumbangan UTHM tidak akan terhenti dengan penutupan PPV ini kerana kami akan sentiasa mendepani sebarang keperluan bagi membantu masyarakat setempat dan juga negara, dalam apa jua cara,” katanya.

UTHM menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan fasa pemberian vaksin bagi program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di PPV Dewan Sultan Ibrahim UTHM.