Oleh Nurdiyanah Majdan

BATU PAHAT – Bagi meningkatkan jalinan kerjasama antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan institusi pendidikan di negeri Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Majlis Pelancaran dan Pelantikan Sekolah Angkat UTHM melibatkan 100 sekolah di negeri Johor.

Program sekolah angkat ini juga diadakan bagi melaksanakan program pemindahan ilmu untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan, sebagai usaha untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang yang dikenal pasti bersama dan mengenal pasti bakat-bakat baharu dan sumber manusia dalam bidang yang menjadi keutamaan negara.

Pelancaran yang disiarkan secara maya pada 23 September lalu melalui platform aplikasi Zoom itu telah disempurnakan oleh Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Turut hadir secara maya, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk (Dr.) Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor merangkap Ahli Lembaga UTHM, Prof. Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar, TNC (Penyelidikan dan Inovasi) wakil rasmi Naib Canselor UTHM, pegawai-pegawai kanan kementerian dan para Pengetua sekolah angkat UTHM.

Majlis ini adalah salah satu program komuniti berkelompok dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam ucapannya berkata hampir 91% atau sekurang-kurangnya 1.6 bilion pelajar di seluruh dunia tidak dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa akibat penularan pandemik Covid-19.

Namun begitu, beliau yakin usaha gigih dan berterusan oleh pihak KPM akan dapat menghasil dan meningkatkan lagi bakat dan potensi para pelajar.

“Adalah tanggungjawab kita bersama untuk mencungkil dan mengenal pasti bakat mereka untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru dan KPM kerana yang sentiasa bertindak agresif dan penuh dedikasi serta bermotivasi dalam berganding bahu melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah dari semasa ke semasa.

Turut berlangsung, gimik pelancaran program dan penyerahan sijil Sekolah Angkat UTHM yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Shahir TNC kepada Prof. Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor, Pengarah Pusat Hubungan Industri Dan Masyarakat (ICRC) yang mewakili pihak Sekolah Angkat UTHM.