Seperti mana umum maklum, kerajaan Malaysia telah melaksanakan sebanyak tiga kali perintah kawalan pergerakan (PKP) secara berfasa dalam jangka masa dua tahun. Kini, Malaysia sedang beralih ke fasa endemik seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada penghujung Oktober 2021. Hal ini akan berlaku selepas 80 peratus penduduk negara menerima dos lengkap vaksin.

Namun begitu apa yang menjadi persoalannya ialah keadaan ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya, terutamanya sektor pembinaan. Ini kerana penekanan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan telah memberi cabaran yang besar kepada kebanyakkan pemain industri di seluruh negara termasuk pihak kontraktor. Antara cabaran utama adalah kewajipan setiap pekerja menjalankan ujian RTK Antigen dengan kaedah ujian kendiri atau di fasiliti kesihatan setiap dua minggu.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali langkah itu adalah langkah proaktif untuk menangani penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja di tapak pembinaan. Pihak kontraktor perlu menanggung kos ujian untuk kesemua pekerja mereka yang agak ramai di sesebuah projek pembinaan. Pihak kontraktor agak terbeban dengan kos ujian RTK Antigen yang tinggi, tambahan pula kos ini tidak dinyatakan di dalam mana-mana klausa kontrak dan insuran. Akibatnya, kontraktor perlu menanggung kos yang dianggap sebagai luar jangka ini akibat daripada pandemik Covid-19.

Untuk isu seperti ini, kerajaan harus memperhalusi dan menilai semula SOP bagi fasa endemik ini dengan melihat semula pendekatan yang boleh diambil. Sebelum ini, beberapa negara telah melonggarkan secara keseluruhan SOP namun tindakan tersebut menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan dan kewujudan varian baharu menyebabkan kerajaan terpaksa mengetatkan kembali dan memperbaharui SOP.

Bagi tujuan ini, penulis syorkan beberapa langkah dalam melaksanakan pengurusan projek pembinaan agar ia lebih praktikal dan selamat. Apa yang perlu dilaksanakan dalam memastikan industri pembinaan berjalan lancar sebelum fasa endemik bermula yang dijangkakan pada penghujung Oktober nanti merangkumi aspek- aspek berikut:

  • Polisi kerajaan yang lebih menekankan keselamatan pekerja industri pembinaan terutamanya semasa pandemik. Ini adalah disebabkan sehingga kini tidak ada sebarang polisi yang menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja industri pembinaan diwujudkan walaupun negara telah dilanda penularan Covid-19 hampir dua tahun.
  • Agensi-agensi kerajaan seperti pihak Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) boleh kerjasama dengan syarikat-syarikat insuran dan takaful untuk mewujudkan polisi insuran yang membantu bagi menampung kos ujian RTK Antigen, PCR dan rawatan pekerja sekiranya jangkit Covid-19.
  • Memperhalusi dan permudahkan SOP untuk industri pembinaan agar ia dapat difahami dan dipatuhi oleh pekerja-pekerja di tapak pembinaan terutamanya kepada pekerja asing.
  • Kerajaan harus melabur secara konsisten dalam pembangunan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya, jambatan dan infrastruktur digital kerana ia adalah pemancu utama dalam meningkatkan ekonomi negara dan secara langsung memberi impak kepada industri pembinaan.

Tuntasnya, pandemik COVID-19 telah menggugat kemajuan negara terutamanya menjejaskan pembangunan ekonomi termasuk industri pembinaan yang memberikan impak yang cukup besar. Justeru, kerajaan perlu memandang serius hal ini dengan mengembalikan pertumbuhan ekonomi sambil membangunkan masyarakat yang inklusif dan seimbang berteraskan konsep ‘Keluarga Malaysia.’

 

Artikel ini juga diterbitkan di Utusan Malaysia, 29 Sept 2021

 

Profesor Madya Ts. Dr. Goh Kai Chen

Penyelidik Utama di Pusat Kelestarian Infrastruktur dan Pengurusan Alam Sekitar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)