Memerdekakan jiwa yang gusar

Walaupun Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 64 tahun namun hari ini kita berdepan dengan “musuh” baharu yang lebih berbahaya kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pandemik ini telah...
Foto: dictio.id

Walaupun Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 64 tahun namun hari ini kita berdepan dengan “musuh” baharu yang lebih berbahaya kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pandemik ini telah banyak merubah kehidupan kita iaitu perubahan rutin hidup, perubahan rutin kerja, perubahan rutin sosial, kebebasan terbatas, ekonomi keluarga terjejas dan isu kesihatan mental meningkat. Apa yang perlu dilakukan kini adalah dengan mencari jalan ke arah memerdekakan jiwa dan minda. Mari sama-sama kita memerdekakan jiwa yang gusar yang dapat membawa kita ke kehidupan yang lebih bahagia sepanjang hari dan setiap hari dengan cara berikut.

  1. Mendamaikan Diri Dengan Perkara Yang Lepas

 Cari waktu dan kaedah untuk berdamaikan dengan perkara yang telah berlalu. Tinggalkan masa lepas agar ia tidak mengganggu gugat kehidupan masa kini dan masa hadapan anda. Masa lepas tidak menggambarkan masa hadapan apatah lagi tindakan dan kepercayaan anda. Belajar dari kesilapan, keputusan yang tidak tepat, hubungan yang gagal dan biarkan masa lalu menjadikan anda kuat. Masa lepas hanyalah sejarah dan waktu untuk anda hidup, bertindak dan membuat perubahan adalah masa kini dan hari ini.

  1. Elak fikir apa orang fikir tentang kita

Selalu ingat apa yang orang lain fikir tentang anda bukanlah urusan anda. Yang paling penting adalah sebanyak mana anda hargai diri dan mensyukurinya. Dari suatu sudut ia nampak agak keakuan tetapi jika anda melihat ia dari pandangan yang positif, sayangi diri akan melangkaui orang lain. Sebilangan besar parut luka yang ada pada anda berpunca dari luar seperti kata-kata yang boleh menyakitkan lebih daripada senjata. Tetapi bukan tugas anda untuk membayangkan anak panah apa yang mungkin akan ditujukan kepada anda. Apa yang perlu jujurlah dengan diri sendiri, jadi diri sendiri dan lupakan apa orang kata tentang anda. Bila anda berjaya melepaskan diri daripada kebimbangan terhadap pandangan orang luar, anda dapat menumpukan tenaga kepada perkara yang penting yang dapat memajukan anda.

  1. Rasai masa yang berlalu

Beri sedikit masa untuk sembuhkan kedukaan. Lama kelamaan rasa sakit akan berkurang dan bekas parut ini akan menyedarkan siapa diri anda, menjelaskan tentang kehidupan dan mencabar anda untuk lebih kuat di masa hadapan. Bersahabatlah dengan kesabaran agar anda dapat berkembang di atas peristiwa sedih yang memberi tekanan kepada langkah seterusnya.

  1. Diri kita yang bertanggungjawab atas kebahagiaan

Ini adalah kehidupan anda. Jangan bimbang tentang perkara yang di luar kawalan dan lakukan apa yang anda mahukan untuk diri anda. Kehidupan ini terlalu singkat untuk anda penuhi dengan perkara yang anda tidak boleh ubah. Kebahagian adalah milik anda dan anda yang menentukannya. Tempuhi semua risiko yang ada di depan kerana yang penting anda harus membahagiakan diri anda terlebih dahulu. Apa yang anda ingin hanya akan dipenuhi oleh diri anda sendiri. Rasai dalam diri, sentuh hati dan di situlah kebahagiaan.

  1. Elak banding diri dengan orang lain

Jangan sesekali membandingkan diri anda dengan orang lain kerana anda tidak tahu bagaimanakah perjalanan hidup mereka. Adakah hidup mereka lebih indah dari anda atau lebih sengsara dari anda. Hanya anda dan mereka sahaja yang merasainya. Memang mudah untuk menghakimi orang lain tanpa mengetahui liku perjalanan mereka. Tidak ada faedahnya menilai diri anda dengan orang lain dan lebih teruk lagi ia hanya akan menyakiti diri sendiri jika obsess dengan kehidupan orang lain. Cuba fokuskan kepada masa dan tenaga anda untuk perjalanan hidup yang seterusnya. Menurut Mark Twain perbandingan adalah pemusnah kebahagiaan. Semakin kurang anda membuat perbandingan, semakin tinggi keupayaan anda untuk berempati. Bertemulah dengan pelbagai jenis manusia supaya anda lebih rasa bersyukur dengan diri sendiri. Jordan Peterson berkata jangan bandingkan diri anda dengan orang lain tetapi bandingkan diri anda hari ini dan dengan diri anda yang semalam.

  1. Kita jangan terlampau berfikir

Sudah sampai masanya untuk berhenti berfikir terlalu banyak kerana kadang-kadang persoalan ini tidak ada jawapannya, tidak boleh dijawab dan tidak pernah ada jawapannya. Semakin anda meningkat usia semakin banyak pemikiran yang akan lalu di fikiran anda seperti memikirkan tarikh akhir tugasan atau urusan peribadi atau mungkin juga urusan keluarga. Kadang kala ada baiknya jika anda tidak mempunyai jawapan untuk setiap masalah itu. Percaya pada diri sendiri bahawa semuanya akan berjalan seperti yang sepatutnya pada waktu yang tepat.

  1. Amal cara bertenang dan senyum selalu

Dunia ini memang penuh dengan masalah dan bukan juga tanggungjawab anda untuk menyelesaikan semua masalah itu. Jadi mengapa anda tidak boleh bertenang dan senyum. Bertenang sambil tersenyum dapat meningkatkan kebahagiaan dalaman. Fikir perkara positif dan nikmati hidup dengan cara anda sendiri akan buat anda bahagia. Cuba untuk cipta satu pemikiran positif setiap hari. Setiap hari adalah hari yang baharu dan pastinya ada sesuatu yang dapat dikenang. Tenang akan menjadikan hidup lebih indah dan senyum dapat mencerahkan hari anda.

Kehidupan yang pendek ini jangan dipenuhi dengan perkara negatif kerana ia bukan hanya akan mempengaruhi kualiti hidup tetapi cara anda melihat dan melayan orang di sekeliling. Semua orang berhak untuk bahagia.

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di..

Tinta Minda, Bernama, 3 September 2021

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1999143

 

 

Dr. Noraishah Daud

Pusat Kaunseling Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2021Rencana

RELATED ARTICLE

  • Kehidupan tanpa zuriat, bolehkah bahagia?

    Kehidupan tanpa zuriat, adakah kita antara orang-orang yang bahagia? Zuriat adalah kurniaan yang Maha Esa kepada hamba-Nya. Dalam setiap perkahwinan sudah pasti kita mengharapkan kehadiran zuriat yang akan menjadi...
  • Nilai merdeka dari kaca mata pandemik Covid-19

    Merdeka. Apakah erti kemerdekaan bagi diri anda? Adakah cukup dengan laungan keramat “Merdeka!” menjelangnya tanggal 31 Ogos? Atau adakah cukup sekadar mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai simbolik menyambut Hari...
  • Teknologi Blockchain pada era revolusi digital

    Semenjak Bitcoin mencapai paras harga tertinggi pada April 2021 yang lalu, ramai yang mula berjinak-jinak dengan matawang kripto. Namun tidak ramai yang cakna dengan teknologi yang disandarkan di sebaliknya....
  • Kekal cergas pada era pandemik

    Rutin harian yang sama di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) biasanya akan mendatangkan rasa bosan dalam diri masing-masing. Pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh kerajaan bermula pada 18...