Oleh Farhawahidah Ahmad Puad
Kesihatan merupakan aset utama yang perlu diberi perhatian khusus bagi mencapai tahap kualiti kesihatan dan kecergasan unggul. Mengambil tanggungjawab ini, Pusat Sukan Universiti dengan kerjasama Pejabat Pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program kecergasan Workout From Home (WFH) 1.0 secara dalam talian pada 26 Julai hingga 26 Ogos 2021 lalu.
Penyertaan adalah terbuka kepada warga universiti dan komuniti di bawah bimbingan jurulatih, Bahagia Jemali. Program secara dalam talian ini sangat bertepatan dengan situasi semasa yang masih tidak membenarkan aktiviti dijalankan secara bersemuka akibat daripada wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.
Penganjuran WFH 1.0 ini telah menawarkan pelbagai inisiatif kepada peserta bagi mengamalkan gaya hidup sihat dalam norma baharu.
Sesi live workout yang diadakan dua kali seminggu secara dalam talian memberikan keselesaan kepada peserta untuk melakukan senaman di kediaman masing-masing tanpa rasa takut atau was-was.
Selain itu, progam ini dirangka dalam bentuk perkongsian ilmu yang mana ianya bukan berbentuk pertandingan. Oleh yang demikian, para peserta boleh memberikan fokus penuh kepada setiap aktiviti yang telah dijadualkan selama satu bulan.
Lebih menarik, setiap peserta turut dibekalkan dengan video senaman yang boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang. Sudah pastinya, senaman ini memenuhi elemen seperti yang telah disarankan oleh American College of Sports Medicine (ACSM) dengan gabungan latihan senaman kardio, bebanan dan fleksibiliti.
Sepanjang tempoh 30 hari ini juga, setiap peserta telah mempelajari proses penurunan berat badan secara selamat dan sihat. Peserta dibimbing dengan ilmu pemakanan yang betul melalui penekanan berkaitan strategi bagi melengkapkan pengambilan nutrisi seharian individu.
Setiap hari peserta perlu menghantar laporan pemakanan seharian bagi melatih mereka memahami konsep pemakanan yang betul selain memahami kepentingan pengambilan protein, karbohidrat dan serat yang cukup berdasarkan kepada keperluan badan masing-masing.
Pemantauan dan sokongan secara berkumpulan melalui aplikasi whatsapp dan telegram juga digunakan sebagai medium bagi penyampaian ilmu dan motivasi.
Pelbagai kesan positif dapat dilihat dalam kalangan peserta seperti penurunan berat badan sekitar dua hingga tiga kilogram, ukur lilit yang semakin mengecil, sakit sendi dan otot yang semakin berkurangan serta mengatasi masalah flabby akibat daripada penurunan berat badan yang tidak sihat.
Di akhir program, setiap peserta turut menerima sijil dan smart watch serta empat hari jam latihan bagi staf UTHM.