Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selaku Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengadakan Kem Latihan PST Silat KPT-UTHM dan Pemilihan Fasa Satu ASEAN University Games (AUG) 2022-Thailand secara maya pada 11 hingga 15 Ogos 2021 lalu.

Objektif kem ini diadakan adalah bagi persediaan Pasukan Silat Malaysia IPT menghadapi kejohanan yang akan datang terutamanya ASEAN University Games (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Kem ini juga menjadi medium untuk memartabatkan nama PST Silat KPT UTHM sebagai peneraju kepada pembangunan sukan silat di Malaysia dan IPT.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Pekan Ramli,Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT.

Hadir sama, Profesor Madya Sr. Ts.  Dr. Lokman Hakim Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM, Nazmizan Muhammad, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Maznah Abu Samah, Penolong Setiausaha, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Azli Puddin, Pengarah Pusat Sukan Universiti, UTHM, Pegawai-pegawai Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar, KPT dan Pegawai-pegawai Pusat Sukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia merangkap PST Silat KPT.

Antara kejohanan tumpuan yang bakal disertai oleh Pasukan Silat Malaysia IPT ialah Universitas Negeri Jakarta International Virtual Pencak Silat Championship 202 pada 21 hingga 22 Ogos 2021, KPT-UTHM International Virtual Silat Tournament 2021 pada 16 hingga 20 November 2021, ASEAN University Games (AUG) 2022 pada 26 Julai hingga 6 Ogos 2022 dan Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka 2022 pada 21 hingga 26 November 2022.

Penglibatan kem fasa satu ini adalah seramai lima pegawai PST Silat, dua jurulatih PST Silat, tiga penceramah jemputan dan 47 pesilat Pasukan Silat Malaysia IPT.

Antara pengisian program adalah sesi pengenalan peraturan baharu silat, latihan fizikal dan ujian kecergasan yang dikelolakan oleh Jurulatih PST Silat iaitu Cikgu Habizan Othman dan Cikgu Dzulnizam Sogol.

Atlet didedahkan dengan peraturan baharu silat olahraga dan seni yang telah dipinda oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) untuk dipraktikkan dalam latihan dan kejohanan.

Atlet juga diajar berkaitan bentuk latihan yang betul dan tip yang berguna bagi meningkatkan prestasi masing-masing. Sesi ujian kecergasan turut diadakan bagi jurulatih PST Silat menilai tahap kecergasan atlet yang terkini.

Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecergasan fizikal atlet dan mengurangkan tekanan selepas menghadapi peperiksaan akhir semester yang baru berlangsung serta pandemik Covid-19, sesi senam robik telah diadakan bersama Coach Royy, instruktor jemputan daripada MRV Fitness dan Martial Arts Studio.

Kem ini juga menekankan aspek sains sukan kepada para atlet dengan menganjurkan webinar ‘Pemakanan dan Persediaan Fizikal bagi Atlet Silat’ bersama Dr. Syahrul Ridhwan Morazuki daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Perkongsian ini bagi membantu atlet mendapatkan maklumat penting berkaitan pemakanan yang sesuai bagi seseorang atlet silat berprestasi tinggi.

Manakala webinar ‘Psikologi Sukan’ bersama Ili Abdullah, Pakar Motivasi dan Jurulatih Kecergasan daripada BDIFF Trainning & Motivation Resources pula membincangkan tentang tip dan panduan bagaimana untuk menyerap tekanan dan memotivasikan diri ke arah kejayaan yang gemilang di peringkat antarabangsa.

PST Silat KPT-UTHM sentiasa komited menyokong Dasar Pembangunan Sukan IPT (DPSIPT) untuk memperkasakan program pembudayaan dan pembangunan sukan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).