Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT Bagi memperkenalkan teknologi baharu dalam sukan silat, Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Webinar ‘PST Silat KPT-UTHM: Aplikasi Teknologi dalam Sukan Silat’ pada 29 Ogos 2021 lalu.

Objektif program ini adalah bagi menyokong dan mencapai hasrat yang terkandung di dalam Dasar Pembangunan Sukan IPT (DPSIPT) serta visi dan misi universiti ini.

Selain itu, program ini juga dijadikan platform percambahan DNA kecemerlangan sukan silat Malaysia dengan memperkenalkan teknologi baharu yang boleh diaplikasikan oleh warga silat.

Usaha seumpama ini akan memartabatkan lagi nama PST Silat KPT)-UTHM sebagai peneraju kepada pembangunan sukan silat di Malaysia dan institut pengajian tinggi (IPT) khususnya.

Banyak perkongsian ilmu dan pengenalan teknologi baharu dalam sukan silat dapat dihebahkan kepada warga silat di luar sana terutamanya di IPT seluruh Malaysia bagi membantu perkembangan sukan silat tanah air dari sudut seperti biomekanik, psikologi, fisiologi, perubatan, peralatan, pemakanan dan analisis data.

Program ini telah dihoskan oleh moderator Dr. Mohd Zulfadli Rozali, Pensyarah Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional dan juga bekas atlet rowing negara.

Panel jemputan yang terlibat adalah Nazmizan Muhammad, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT merangkap bekas pelari pecut negara; Azli Puddin, Pengarah Pusat Sukan Universiti, UTHM dan Profesor Madya Dr. Zamani Ngali, Ketua Kumpulan Fokus Sports Engineering Advancement Research (SPEAR), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM.

PST Silat KPT-UTHM sentiasa komited memperkasakan pembangunan sukan silat di IPT bagi melahirkan atlet intelek “The Thinking Athlete” yang mempunyai kecergasan fizikal dan minda yang seimbang serta mempunyai daya saing yang dapat memenuhi aspirasi pembangunan sukan IPT.