BATU PAHAT, 28 Sept 2021 –  Staf Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melaksanakan projek “Implementasi Kelas Hibrid di Sekolah-Sekolah Daerah Batu Pahat” bagi membantu pihak sekolah menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara lebih berkesan pada era pandemik ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Sulaiman, SMK Semerah, SMK Senggarang, dan SMK Suria Perdana telah terpilih untuk merealisasikan projek ini dan menjadi projek rintis kelas hibrid.

Menurut Ketua Projek, Profesor Madya Dr. Fauziahanim Che Seman, FKEE mengambil langkah proaktif bagi membantu pihak sekolah melaksana dan menyediakan satu platform pembelajaran hibrid.

Beliau berkata, oleh kerana angka kes positif Covid-19 di negeri Johor masih di paras yang membimbangkan, pihak sekolah perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan arahan semasa ke semasa daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Oleh itu, perubahan kaedah PdP yang bersesuaian perlu diberikan penekanan bagi mendepani situasi ini.

“Pembelajaran secara hibrid iaitu kombinasi pembelajaran fizikal dan maya secara serentak dilihat mampu menjadi alternatif terbaik bagi membantu para pelajar, terutamanya calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), guru-guru dan juga pihak sekolah.

“Kelas secara hibrid ini dapat menyediakan medium PdP yang sangat sesuai kepada kelompok pelajar yang tidak berupaya untuk hadir ke sekolah dan hanya dapat menyertai kelas dari rumah sahaja.

“Kaedah tersebut untuk memastikan kumpulan pelajar ini tidak berdepan masalah keciciran ilmu terutama calon SPM yang terpaksa berada di rumah atau perlu dikuarantin atas faktor kesihatan,” katanya.

Projek ini dilaksanakan di bawah geran IEEE Humanitarian Activities Committee (HAC)/SIGHT dengan jumlah peruntukan USD 5000, yang digerakkan secara berperingkat dengan melibatkan empat fasa.

“Fasa satu dimulakan dengan perbincangan pengurusan dan lawatan tapak, fasa dua; implementasi kelas hibrid, fasa tiga; pemantauan projek, pembangunan modul manual pengguna dan pemindahan ilmu kepada para guru dan pelajar serta fasa empat; kaji selidik kepuasan pengguna, penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) dan rangkuman projek,” jelas beliau.

Katanya juga, projek ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat (PPDBP), pengetua, guru dan staf sekolah yang terlibat.

“Projek yang bermula pada bulan Ogos ini kini berada dalam fasa implementasi kelas hibrid.

“Fasa ini dijangka siap menjelang Oktober 2021, sebelum melabuhkan tirai sepenuhnya pada Februari 2022,” katanya.

Seramai lebih 650 pelajar dijangka menerima manfaat daripada projek ini.

“Dengan mengadunkan teknologi pendidikan terkini dalam PdP, projek ini diharap dapat membantu calon-calon SPM khususnya untuk meneruskan pembelajaran walaupun tidak hadir ke sekolah, sekali gus membantu meningkatkan motivasi mereka untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang.

“Projek ini juga diharap dapat memberi sumbangan bermanfaat kepada komuniti setempat di samping menggukuhkan lagi hubungan baik antara FKEE, UTHM dan PPDBP serta sekolah-sekolah di sekitar daerah ini,” katanya.