BATU PAHAT – Bagi memberi pendedahan kepada murid berkaitan amalan ergonomik di sekolah, pelajar kursus Faktor Kejuruteraan Manusia, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Program SULAM: Ergonomic@FKMP pada 5 Mei 2024 lalu.

Program yang bertemakan ‘Application of Ergonomic Principles at School’ itu telah melibatkan penyertaan 30 murid Sekolah Kebangsaan Jelotong, Batu Pahat.

Mereka dibimbing oleh 56 pelajar FKMP yang bertindak sebagai fasilitator di bawah penyelarasan Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Mohd Nasrull Abdol Rahman.

Tujuan program SULAM itu diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada murid-murid sekolah tentang pentingnya prinsip amalan ergonomik di sekolah.

Melalui program tersebut, murid-murid diberikan pendedahan berkenaan tip dan teknik pengendalian beg sekolah serta posisi postur duduk yang betul semasa sesi pembelajaran dalam kelas berlangsung.

“Pengetahuan dan kesedaran ini amat penting bagi memastikan kesihatan murid-murid tidak terjejas selain dapat meningkatkan tahap fokus mereka menghadapi pembelajaran dalam kelas.

“Semoga program SULAM seumpama ini dapat membantu menghasilkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti di sekolah,” kata Dr. Mohd Nasrull.

Sementara itu, pihak FKMP juga turut mengucapkan terima kasih kepada Sekolah Kebangsaan Jelotong terutama kepada Guru Besar, Md Yazid Kamri kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang menjayakan program tersebut.