BEAUFORT, 27 April 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan Kolej Komuniti Beaufort, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Winjaya Solar Electrical, Sabah Net dan Marvel Factory bagi menjayakan projek Translasi Penyelidikan dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Kampung Nabahan, Beaufort, Sabah.

Wakil UTHM dari FKEE, EMCenter, Institut Kejuruteraan Integrasi, Kumpulan Fokus RF dan Peranti Mikro Gelombang (RFMD) telah menyertai projek tersebut yang dibiayai oleh Datuk Hj Ruslan Muharram, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan, yang juga merupakan Penasihat Menteri Besar Sabah.

Kampung Nabahan adalah satu kawasan terpencil yang hanya boleh dilawati dengan bot dan bekalan elektriknya bergantung kepada jentera penjana.

Program CSR tersebut menjurus kepada translasi penyelidikan dan khidmat komuniti bagi meningkatkan taraf kehidupan penduduk dan juga penyelesaian teknologi di kawasan terpencil.

Objektif utama CSR tersebut adalah bagi melaksanakan sistem solar luar grid dan menubuhkan penyambungan satelit ‘Starlink’ untuk meningkatkan keupayaan komunikasi.

Kumpulan UTHM yang diketuai Ketua EMCenter, Profesor Madya Dr. Fauziahanim Che Seman turut dibantu oleh Pembantu Jurutera, Miskiah Muhammad Ihsan; Kumpulan Fokus RF & Microwave Devices, Dr. Shipun Anuar Hamzah, Dr. Elfarizanis Baharudin dan Aizan Ubin.

Mereka telah menjalankan ujian kebolehlaksanaan peranti LoRa, sebuah inovasi yang dibangunkan oleh 3D LAB bagi menilai potensi komunikasi antara Pekan Weston ke Kampung Nabahan untuk aplikasi telemetri dan internet of things (IoT).

Menurut Dr. Fauziahanim, teknologi LoRa menawarkan potensi untuk merevolusikan pemantauan jarak jauh, terutamanya berkaitan dengan prestasi bateri solar luar grid.

“Menerusi pemantauan ini, ahli-ahli penyelidik boleh mengukur prestasi sistem solar dari semasa ke semasa dan akan datang untuk penyelenggaraan sekiranya perlu.

“Ia amat penting untuk memastikan sistem solar yang dipasang memberi manfaat kepada komuniti secara efisien bagi satu jangka masa yang panjang,” katanya.

Melalui khidmat tersebut, komuniti akan dapat menikmati sumber tenaga elektrik dan rangkaian telekomunikasi bagi meningkatkan lagi sosio ekonomi mereka yang bergantung kepada pendapatan sebagai nelayan kecil.

Usaha tersebut juga mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan Kampung Pulau nabahan yang terletak berdekatan dengan eko-pelancongan habitat Monyet Belanda.

Melalui program itu, UTHM turut menyumbang pakej makanan kepada penduduk Kampung Nabahan sebagai tanda prihatin universiti kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 6 Mei 2024: UTHM bantu Orang Asli dapatkan bekalan air bersih

https://malaysiagazette.com/2024/05/06/uthm-bantu-orang-asli-dapatkan-bekalan-air-bersih/