UTHM agih wang zakat kepada 1007 pelajar asnaf

BATU PAHAT – Pusat Islam dengan kerjasama Pejabat Bendahari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM398,100 kepada 1,007 pelajar asnaf fakir, miskin, fisabilillah dan...

BATU PAHAT – Pusat Islam dengan kerjasama Pejabat Bendahari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM398,100 kepada 1,007 pelajar asnaf fakir, miskin, fisabilillah dan gharim.

Manakala sebanyak RM39,000 lagi diperuntukkan untuk bantuan khas Aidilfitri kepada pelajar asnaf semester 2 sesi 2020/2021, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM437,100.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM136,200 diagihkan kepada 227 pelajar asnaf fakir, RM169,000 diagihkan kepada 338 pelajar asnaf miskin, RM85,900 diagihkan kepada asnaf fisabilillah, manakala RM7,000 diagihkan kepada asnaf gharim melalui potongan yuran pengajian pada semester 2 sesi 2020/2021.

Bantuan zakat ini adalah bagi membiayai kos pembelajaran sepanjang semester sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat berjumlah RM600 bagi asnaf fakir, RM500 bagi asnaf miskin. Manakala asnaf fisabilillah bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga dan mengikut kategori iaitu kategori satu sebanyak RM250, kategori dua sebanyak RM200 dan kategori tiga sebanyak RM150.

Manakala asnaf gharim pula dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bantuan bagi program pengajian diploma sebanyak RM300, program pengajian sarjana muda sebanyak RM700 dan program pengajian  sarjana sebanyak RM500.

Selain itu, bantuan tambahan Aidilfitri bernilai RM100 turut diberikan kepada 390 pelajar asnaf fakir dan miskin bagi membantu pelajar membuat persiapan menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohd Lotfi Solihan berkata pada tahun ini, Pusat Islam mencatatkan jumlah penerima bantuan yang tinggi iaitu seramai 1,007 pelajar.

“Ini kerana ramai pelajar daripada keluarga B40 terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19, contohnya pendapatan keluarga terjejas disebabkan ketua keluarga hilang punca pendapatan kerana diberhentikan oleh majikan,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua warga UTHM agar terus memberikan komitmen dalam melaksanakan kewajipan menunaikan zakat pendapatan bersama Zakat UTHM agar universiti ini dapat terus membantu serta menjamin ekonomi dan masa depan pelajar.

“Pusat Islam juga akan terus memberi sokongan serta bantuan kepada pihak universiti dalam menjalankan aktiviti kebajikan khususnya kepada warga UTHM,” katanya.

Categories
Hal Ehwal PelajarSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE