PAGOH, 3 Ogos – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini mencatatkan rekod kemasukan 846 pelajar baharu program diploma bagi sesi pengajian 2021/2022.

Pendaftaran yang dibuat secara dalam talian melibatkan tujuh kursus yang ditawarkan oleh UTHM iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia, Diploma Sains Gunaan dan Diploma Teknologi Animasi yang mula diperkenalkan pada sesi pengajian ini.

Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan sesi 2021/2022 bermula 8 Ogos ini secara dalam talian bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Transformasi Mahasiswa yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 1 hingga 5 Ogos ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly berkata program diploma UTHM yang melibatkan tempoh masa pengajian selama dua tahun sembilan bulan ini mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) serta mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

Tambah beliau, pelajar program diploma di UTHM mempunyai peluang yang tinggi untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti ini kerana CGPA yang diperlukan sekurangnya 2.5 sahaja dan tidak perlu bersaing dengan lepasan SPM, matrikulasi mahupun politeknik melalui permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).

“Saya amat berharap anak-anak pelajar dapat menggunakan peluang menyambung pelajaran di UTHM ini dengan sebaik mungkin dan cepat membiasakan diri dengan pembelajaran norma baharu yang dijalankan akibat pandemik Covid-19,” katanya.