Oleh Hajar Bidin

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membantu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) menjayakan satu program perkongsian ilmu bertajuk “Spirit of Nadeshiko: Rahsia Amalan Berjimat Cermat dalam Kalangan Suri Rumah Jepun” yang diadakan pada 31 Julai 2021 lalu.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi idea dan motivasi kepada peserta dalam menguruskan kewangan keluarga dengan bijak agar ekonomi rumah tangga mereka menjadi lebih stabil.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Gyoda Frendship Global, Saitama, Jepun dan juga Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL).

Program yang menggunakan medium Google Meet dan juga FB Live UNIMAP berjaya menarik ramai peserta bagi mengikuti perkongsian daripada ahli panel yang dijemput.

Pihak penganjur telah menjemput Hiyama Junko dari Pusat Pengajian Bahasa (PPB), UTHM sebagai panel program ini bersama Marsita Yunus, seorang suri rumah warganegara Malaysia yang telah berkahwin dengan rakyat Jepun dan menetap di Wilayah Saitama, Jepun.

Kedua-dua panel ini dijemput untuk berkongsi tentang bagaimana suri rumah di negara matahari terbit itu berjimat cermat dalam menguruskan kewangan dan ekonomi rumah tangga. Mereka juga turut berkongsi pengalaman sendiri menguruskan rumah tangga sebagai suri rumah dengan mengamalkan konsep Nadeshiko yang telah menjadi amalan mereka sejak sekian lama.

Antara yang dikongsikan, bagaimana cara suri rumah Jepun berjimat cermat dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga.

Penggabungan istilah Yamato (nama Jepun kuno) dan Nadeshiko (sejenis bunga liar berwarna merah jambu yang hidup di kawasan dataran tinggi Jepun) menggambarkan tentang sifat seorang wanita Jepun yang ideal, yang mempunyai ciri-ciri kewanitaan yang sejati. Umumnya Spirit of Nadeshiko boleh menggambarkan betapa berdikarinya suri rumah di Jepun.

Menurut persepsi masyarakat Jepun, seorang isteri yang baik bukan sahaja menguruskan keperluan suaminya, malahan mereka turut berperanan dalam menguruskan kewangan keluarga, menguruskan pendidikan anak-anak serta menguruskan rutin harian seperti mengemas, mencuci dan memasak.

Seorang suri rumah Jepun turut berperanan dalam membeli belah keperluan rumah dan juga perlu menjaga hal ehwal kesihatan setiap ahli keluarga. Peranan yang agak berat sebagai seorang suri rumah menjadikan kebanyakkan wanita di Jepun berhenti kerja dan memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

Suri rumah di Jepun yang berperanan sebagai seorang pengurus kewangan keluarga biasanya akan mengisi perancangan kewangan mereka di dalam buku kewangan isi rumah yang dikenali sebagai Kakeibo.

Dalam perkongsian itu juga, panel ada menyatakan suri rumah Jepun biasanya akan mengisi perancangan mereka dalam Kakeibo iaitu sebuah buku catatan yang digunakan untuk mencatat segala pengaliran keluar masuk kewangan keluarga pada setiap awal bulan.

Mereka akan memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan dengan mengasingkan kewangan mengikut keperluan keluarga seperti perbelanjaan dapur, kesihatan, pembayaran sewa beli dan juga simpanan.

Dengan cara ini, kewangan keluarga akan dapat dikawal dan mereka akan berusaha untuk menyimpan lebihan kewangan untuk tujuan kecemasan atau dijadikan tabungan untuk aktiviti kekeluargaan seperti melancong atau membeli keperluan diri.

Selain itu, ahli panel juga turut berkongsi amalan berjimat cermat yang mereka amalkan untuk mengurangkan pengaliran keluar kewangan keluarga. Antaranya adalah seperti amalan kitar semula, menanam sayur-sayuran sendiri serta menggunakan semula barangan yang masih boleh digunakan.

Untuk melupuskan sesuatu barang yang tidak digunakan lagi, kos akan ditanggung oleh isi rumah tersebut. Dengan ini, suri rumah di Jepun akan menggunakan peralatan yang ada selagi mana ianya masih dalam keadaan yang baik.

Ada juga suri rumah di negara itu turut mempelajari kemahiran menjahit demi menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan menghasilkan sendiri pakaian, beg dan lain-lain keperluan tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

Dekan PPB, Profesor Madya Dr. Zailin Shah Yusoff berkata penganjuran program sebegini sangat menarik untuk dikongsikan kepada masyarakat.

“Perkongsian seumpama ini sangat bermanfaat terutamanya pada era pandemik ini yang menuntut orang ramai berada di rumah bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Penganjurannya juga dapat meningkatkan lagi jalinan kerjasama UTHM dengan universiti tempatan yang lain serta institusi luar,” katanya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UNIMAP yang sudi bekerjasama dengan pihak UTHM bagi menjayakan program ini.

 

*Kakeibo (buku catatan kewangan keluarga) – Namun pada hari ini, Kakeibo telah dibangunkan dalam bentuk aplikasi yang mudah dimuat turun di telefon pintar untuk memudahkan catatan perancangan kewangan.