BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut menzahirkan keprihatinan dalam membantu negara melawan penularan pandemik Covid-19 dengan menjadikan kampus induknya sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenali sebagai Pusat Pemberian Vaksin, Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (PPV DSI UTHM).
Inisiatif ini bagi menyokong usaha keras kerajaan dalam memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masa terdekat sekali gus mampu mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin.
PPV DSI UTHM akan dilancarkan dan beroperasi secara rasmi pada 15 Julai 2021 ini bagi memastikan sasaran imuniti kelompok negeri Johor khususnya Batu Pahat dapat dicapai dengan segera.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly, pembukaan PPV DSI UTHM adalah di bawah kategori integrasi pertama di fasiliti universiti awam dalam negeri Johor.
Dianggarkan seramai 3000 orang akan menerima vaksin secara harian di PPV DSI UTHM ini bermula 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dalam seminggu.
Tambah Datuk Wahid, kini persiapan giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) dari pusat dan negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor dan Pejabat Daerah Batu Pahat.
“PPV DSI UTHM ini akan dibantu oleh para petugas mengikut kategori, dengan penglibatan daripada agensi keselamatan di bawah penyelarasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukarelawan dari Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVAC), sukarelawan dari Southern Volunteer yang terdiri daripada staf UTHM dan petugas kesihatan dari Health Care Organizations (HCO),” katanya.
Mereka yang diberikan janji temu dinasihatkan sebaik-baiknya tidak hadir terlalu awal, sebaliknya tiba di PPV DSI UTHM ini 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.