Profesor Madya Sr Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 5 Julai 2021 sehingga 4 Julai 2024.

Lantikan ini telah dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (6) Perlembagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Dr. Lokman,49 sebelum ini telah diamanahkan dengan jawatan Menjalankan Tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) selama empat bulan bermula 1 Mac 2021 lalu sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Untuk rekod, beliau juga pernah menjawat beberapa jawatan penting di UTHM antaranya Pengarah dan Dekan Pusat Pembangunan Pelajar (P3P) dan Pengarah Urusan di FKAAB Consult Sdn. Bhd di bawah Syarikat Terbitan Universiti (STU).

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Perumahan, Bangunan dan Perancangan (Kejuruteraan Bangunan) dari Universiti Sains Malaysia dan Sarjana Alam Sekitar dalam bidang Teknologi Alam Sekitar (Infrastruktur) dari Universiti Putra Malaysia. Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Senibina (Reka Bentuk Bioklimatik) di University of Liverpool, Liverpool, Merseyside, England.

Sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, beliau hingga kini telah menyelia seramai 25 pelajar pasca siswazah dan 68 pelajar sarjana muda.

Walaupun sibuk dengan tugas mendidik dan jawatan lantikan, beliau tetap aktif dalam aktiviti penyelidikan. Sehingga hari ini, beliau telah terlibat dengan lebih 100 projek penyelidikan sebagai ketua penyelidik dan juga penyelidik.

Dr. Lokman yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengajaran juga turut berkongsi ilmu dan kepakaran beliau menerusi lebih 150 penerbitan ilmiah melibatkan buku, jurnal dan prosiding

Ketika ditanya mengenai hala tuju yang ingin dibawa beliau, Dr. Lokman menyatakan hasratnya yang ingin memperkukuhkan lagi peranan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di universiti ini dengan memberi fokus kepada kemenjadian mahasiswa, melibatkan pembangunan diri, keusahawanan dan kepimpinan pelajar ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan dan keusahawanan global selari dengan hala tuju universiti.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly serta seluruh warga UTHM merakamkan ucapan terima kasih kepada Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad atas khidmat bakti yang dicurahkan beliau sebelum ini sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA).

Datuk Wahid juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr. Lokman atas perlantikan ini dan berharap beliau mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian akademik dan organisasi yang lebih cemerlang.