Pandemik tidak halang UTHM sambut Hari Kemerdekaan ke-64

BATU PAHAT, 30 Ogos 2021 – Walaupun negara masih berperang dengan pandemik Covid-19 dan berada dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 1, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini...
Naib Canselor UTHM mengetuai upacara pemasangan bendera pada kenderaan di laluan masuk utama ke kampus induk.

BATU PAHAT, 30 Ogos 2021 – Walaupun negara masih berperang dengan pandemik Covid-19 dan berada dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 1, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini tetap menyambut Hari Kebangsaan dengan mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Kemerdekaan ke-64 peringkat universiti secara dalam talian.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam ucapannya berkata untuk menjadi sebuah negara yang berjaya, Malaysia memerlukan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penuh dengan sifat keperimanusiaan yang disulami dengan kasih sayang dan prihatin antara satu sama lain.

Beliau menyeru warga kampus untuk mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi pekerti bagi membantu negara menyatupadukan seluruh rakyat yang berbilang kaum sekali gus menjamin keamanan dan kedaulatan Malaysia.

“Saya berharap agar kita semua mengekalkan ciri-ciri warganegara yang baik, prihatin, berakhlak mulia, berdisiplin serta saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Datuk Wahid juga menyeru warga UTHM untuk saling berganding bahu memastikan semangat patriotisme terus dipelihara agar negara kekal harmoni dan aman makmur.

“Melalui semangat patriotisme inilah membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan teratur di samping mengekang wabak pandemik Covid-19 daripada terus menular di dalam negara,” katanya dalam majlis yang disertai warga universiti melalui platform YouTube UTHM TV.

Terdahulu, UTHM turut mengadakan upacara pemasangan bendera pada kenderaan yang melalui laluan masuk utama ke kampus induk pada 26 Ogos lalu. Upacara itu diketuai oleh Datuk Wahid, disertai Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar dan juga Pegawai-pegawai Kanan universiti.

Kini pemasangan bendera telah dan sedang giat dijalankan di pejabat dan premis yang ada di kampus induk dan kampus cawangan Pagoh.

Usaha ini diharap dapat menyemai sifat bangga warga kampus terhadap Jalur Gemilang di samping mendidik generasi muda masa kini untuk lebih patriotik dan bersemangat nasionalisme dengan menghormati dan mencintai bendera.

Categories
Berita UmumLatest News

RELATED ARTICLE