Oleh Nur Zainatul Nadra Zainol

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif menganjurkan program bersama pakar dalam bidang institusi DiRaja Johor iaitu Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato’ (Dr.) Abdul Rahim Ramli pada 9 September 2021 secara dalam talian.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) dengan kerjasama Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) berjaya menarik minat lebih 290 penyertaan terdiri daripada pelajar UTHM, kakitangan kerajaan, institusi dan persatuan sejarah bukan sahaja di Johor malah peringkat kebangsaan. Malah jumlah tontonan di YouTube UTHM TV mencecah kepada 664 tontonan.

Untuk rekod, program bual bicara ini merupakan salah satu perancangan bersama penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Institusi DiRaja) sempena Konvokesyen UTHM 2019, Dato’ (Dr.) Abdul Rahim Ramli yang merupakan pakar dalam aspek sejarah, protokol dan budaya istana DiRaja Negeri Johor Darul Takzim dengan pengalaman selama 50 tahun.

Beliau telah berkongsi sumber first-hand yang amat berharga dalam program bual bicara “Kegemilangan Kepimpinan Diraja Johor”. Penganjuran program tersebut bermatlamat bagi menjelaskan keunikan sistem kesultanan Melayu sebagai ciri kedua Rukun Negara. Dalam konteks ini, penghayatan kepada kegemilangan kepimpinan Kesultanan Johor dapat diketengahkan kepada masyakarat dan para pelajar.

Dato Rahim menjelaskan kegemilangan kepimpinan merupakan faktor utama yang membawa sebuah kerajaan maju dan berdaulat. Menurut beliau juga pemerintahan kesultanan Johor terdahulu mempunyai enam elemen yang menjadikan kepimpinan mereka terus gemilang.

“Elemen ini terdiri daripada raja yang adil, ketuanan negeri, keabsahan perlantikan, rakyat yang setia, pengikhtirafan antarabangsa dan undang-undang.

“Antara ciri unik lain DiRaja Johor ialah mempunyai Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 yang diperakui  sebagai undang-undang tertua di Tanah Melayu.

“Undang-undang ini menjadi benteng kedaulatan Johor sejak dahulu lagi dan sehingga kini. Bahkan ia sebagai bukti ketuanan takhta Kerajaan Johor Moden yang kekal di tangan Sultan Abu Bakar dan dalam kerangka keutuhan raja berperlembagaan,” katanya.

Naib Canselor UTHM,  Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam ucapannya berkata selaras dengan senario pendidikan tinggi di peringkat nasional dan global yang bersifat dinamik, maka UTHM menyambut baik langkah yang diambil oleh PPUK dan PTTA dalam mengerakkan satu signature program Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor atau Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor (RICHER) di bawah kluster Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)”.

Tambah beliau “matlamat RICHER adalah untuk menjenamakan penyelidikan dan inovasi serta memartabatkan sejarah, kebudayaan dan kesenian Johor agar terus subur dalam kalangan masyarakat.”

Dato’Abdul Rahim turut menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Sambutan Ulang Tahun Ke-10 PTTA yang mencecah usia 10 tahun pada tahun 2020 lalu.

Perancangan Program Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Bangunan PTTA yang sepatutnya diadakan pada tahun lepas terpaksa ditangguh berikutan pandemik yang melanda negara.

Moderator program, Dr Luftan Jaes menyimpulkan keunikan sistem kesultanan Melayu khususnya di negeri Johor dalam konteks penghayatan ciri kedua Rukun Negara sangat perlu difahami dengan jelas oleh generasi muda kini.

Tambah beliau, mengadakan program bual bicara bersama pakar rujuk merupakan salah satu peluang bagi mendapatkan ilmu bersifat tacit knowledge.

“Ini kerana ia merupakan satu pengetahuan tersirat yang berdasarkan pengalaman, pengetahuan know-how, kemahiran, pemahaman dan pemerhatian yang dialami oleh seseorang,” katanya.