BATU PAHAT – Bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mental, Majlis Kepimpinan Pelajar daripada Biro Kebajikan dan Kesihatan dan Biro Akademik dan Intelektual Kolej Kediaman Tun Fatimah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Live Webinar bertajuk “Kepentingan Kesihatan Emosi dan Psikologi Semasa Pandemik Covid-19” pada 3 April 2021 lalu.
Program dengan kerjasama Persatuan Psikologi Malaysia di bawah bimbingan, Dr. Nur Ilyani Ramli ini berjaya menarik perhatian lebih 300 penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya ibu bapa, para pendidik, petugas barisan hadapan dan para pelajar menerusi platform Facebook live.
Pogram live yang dikendalikan oleh Muhammad Farhan Mohammad selaku moderator itu menampilkan Clinical Psychologist serta locum clinician, Khairul Azhar Idris sebagai penceramah bagi membincangkan kepentingan menjaga kesihatan mental, cara menangani tekanan serta teknik mengawal perasaan ketika menghadapi konflik dalaman dan luaran akibat pandemik Covid-19.
Beliau dalam perkongsiannya menyatakan wabak ini mampu menjejaskan keamanan, dan ketenteraman negara serta boleh mengakibatkan trauma kepada masyarakat yang terjejas seperti mereka yang kehilangan mata pencarian, para pelajar yang terpaksa menjalani sesi pembelajaran dalam talian serta pesakit dan keluarga yang berdepan dengan Covid-19.
Beliau juga turut berkongsi masalah yang sering dihadapi oleh para pelajar sepanjang menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian dan turut mengemukakan beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut seperti berusaha meningkatkan lagi keyakinan diri sendiri dan bergaul dengan rakan-rakan yang bersikap positif.
Menurut beliau lagi, ketika pandemik Covid-19 ini menular secara agresif ke serata dunia, cabaran yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan juga menjadi lebih besar.
Berdasarkan beberapa kajian, beliau mengaitkan penyakit Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) dengan petugas kesihatan di negara kita.
“Akibat daripada gangguan tekanan pasca trauma ini, petugas kesihatan di negara kita juga boleh mengalami gangguan emosi dan secara langsung akan menjejaskan profesion mereka sebagai seseorang petugas kesihatan,” katanya.
Justeru itu, beliau memberi beberapa penekanan tentang langkah yang perlu diambil dalam mengurangkan impak negatif ganguan emosi dan psikologikal antaranya langkah intervensi bagi mengawal gangguan emosi dalam diri seseorang.
“Hal ini hendaklah dimulakan daripada peringkat awal iaitu diri sendiri dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat agar secara langsung akan menstabilkan emosi dan mental dalam diri kita sendiri.
“Golongan masyarakat juga memainkan peranan yang amat penting iaitu dengan cara mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar dapat mengurangkan peratus kebolehjangkitan seseorang individu.
Pengetua Kolej Kediaman Tun Fatimah, Noreina Nasir@Kepal merakamkan ucapan terima kasih kepada panel jemputan dan berharap jalinan kerjasama dengan Persatuan Psikologi Malaysia ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.