Pasukan “Dr. Air,” Profesor Madya Dr. Mohd Zainizan Sahdan, 43 bersama rakan kongsinya Mohammad Erwan Zaki Mat Radzi, 29 berkerjasama dengan Pejabat Perhutanan Negeri Selangor (PPNS) menyertai operasi memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat pada awal Mac lalu.

Menurut Dr. Zainizan, pada ketika itu mereka difahamkan lebih 50 hektar kawasan telah terbakar akibat aktiviti pertanian haram.

“Dengan kerjasama PPNS, pasukan kami telah mengaktifkan telaga-telaga tiub yang dibina oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk menaikkan aras air di kawasan yang terbakar bagi memadamkan api di dalam tanah gambut,” katanya.

Tambah beliau kebakaran hutan yang bertanah gambut itu menjadi sukar untuk dipadamkan kerana bara api yang membakar bahan organik tanah gambut berada di dalam tanah.

“Oleh itu kaedah yang digunakan untuk memadamkan api adalah dengan menenggelamkan kawasan tersebut dengan air.

“Pasukan kami telah mengaktifkan empat telaga dan mengalirkan air di kawasan terjejas untuk tempoh 24 jam selama lebih tujuh hari,” katanya.

Dalam keadaan yang kritikal itu, kepakaran Dr. Air dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal amat diperlukan bagi melatih pegawai-pegawai PPNS dalam mengendalikan pam dan generator.

Dr. Air juga telah berjaya mengaktifkan satu telaga di kawasan yang sangat terpencil dengan menggunakan pam Arus Terus (DC) yang telah diubah suai.

“Walaupun menggunakan pam DC, namun pasukan Dr. Air tetap memastikan kapasiti pam yang besar bagi mengawal kebakaran hutan dari terus merebak,” tambahnya lagi.

Selama lebih seminggu pasukan Dr. Air beraksi memadam kebakaran hutan di Kuala Langat sehinggalah api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10 Mac lalu.

Kesan kebakaran telah telah memusnahkan khazanan flora dan fauna yang menjadi aset negara untuk generasi akan datang.

Untuk rekod, Dr. Air merupakan satu jenama baharu penapis air bawah tanah berkualiti tinggi yang dihasilkan untuk kegunaan isi rumah dan juga industri. Selain sebagai satu produk, kepakaran penciptanya yang juga seorang penyelidik UTHM turut dikongsi dengan masyarakat melalui kerja-kerja kesukarelawan.

 

Dr. Zainizan dan Erwan sedang melatih pegawai-pegawai PPNS sebelum memulakan operasi

Cabaran membawa set generator dan paip ke lokasi yang tiada laluan masuk

Air dari telaga tiub digunakan untuk memadam hutan yang terbakar

Khazanah negara yang musnah akibat kebakaran