BATU PAHAT, 10 Feb 2021 – Seramai 411 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menduduki peperiksaan akhir Semester I Sesi 2020/2021 yang berada di kolej-kolej kediaman kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh menerima bantuan kebajikan pelajar menerusi program Sabil Al-Hikmah.

Bagi merealisasikan tanggungjawab ini, satu sesi Soft-launching Program Sabil Al-Hikmah bagi bantuan yang berupa food pack makanan tengah hari telah diadakan pada hari ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad bertempat di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI), kampus induk.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Puan Hawa Omar dan  Pengetua KKTDI, Dr. Adi Syahid Mohd Ali.

Menurut Puan Hawa, bantuan Sabil Al-Hikmah pada kali ini telah bermula pada 08 Februari lalu secara serentak di lapan kolej kediaman universiti dan akan berakhir pada 11 Februari ini.

Beliau mewakili pihak universiti merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma yang telah memberi sumbangan untuk bantuan Sabil Al-Hikmah ini.

“Dalam memastikan program bantuan ini dapat berjalan dengan lancar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar selaku pengelola program amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak yang ingin menderma untuk program kebajikan ini.

“Sumbangan boleh dibuat menerusi potongan gaji ataupun dalam bentuk tunai,” katanya.

Untuk rekod, sejak Sabil Al-Hikmah dilancarkan pada Mac 2016 hingga Februari 2021, sebanyak 2,088 pek atau kupon makanan tengah hari dengan nilai terkumpul RM294,631.93 telah diedarkan kepada pelajar.