Dr.Sarala dilantik sebagai Ketua Hakim bagi Anugerah NILAM Johor 2021

Dr. Sarala Thulasi Palpanadan dari Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik sebagai ketua hakim bagi pertandingan Anugerah NILAM Johor 2021 (ANJ2021) bagi kategori...

Dr. Sarala Thulasi Palpanadan dari Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik sebagai ketua hakim bagi pertandingan Anugerah NILAM Johor 2021 (ANJ2021) bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah yang berlangsung pada 5 hingga 7 April 2021 lalu.

Lantikan ini memberi peluang kepada Dr. Sarala selaku staf UTHM untuk menjadi sebahagian daripada pasukan panel hakim peringkat negeri sekali gus dapat menyumbang ilmu dan kepakarannya kepada masyarakat.

Menurut beliau, pertandingan anjuran Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Johor itu dilaksanakan bertujuan untuk memilih calon terbaik untuk mewakili negeri Johor untuk pertandingan NILAM peringkat kebangsaan bagi empat kategori iaitu Sekolah Menengah (Bahasa Melayu dan Inggeris) dan Sekolah Rendah (Bahasa Malayu dan Inggeris).

“Calon-calon dari 10 daerah di Johor telah mengambil bahagian secara aktif dalam pertandingan ini dengan berkongsi maklumat yang bermanfaat hasil daripada membaca buku dan bahan-bahan terbitan lain.

“Malah mereka juga turut berkongsi idea semasa sesi soal jawab berlangsung termasuklah turut mengutarakan nilai-nilai estetika yang berkaitan dengan tema dan genre yang telah dibincangkan,” katanya.

Tambah beliau, panel hakim telah hadir secara fizikal di SSPT, JPN untuk menjalankan tugas penghakiman kerana ia melibatkan aktiviti taklimat, menilai dan memilih pemenang bagi kesemua empat kategori yang ditandingi manakala calon dari setiap daerah mengambil bahagian secara dalam talian.

Menurut Dr. Sarala lagi, penglibatannya pada kali ini agak berbeza berbanding pertandingan sebelum ini yang diadakan secara bersemuka.

“Saya berharap akan ada lebih banyak peluang untuk pensyarah seperti saya menyertai pertandingan dan aktiviti yang berkaitan dengan bahasa seperti ini pada masa akan datang.

“Walaupun kita masih di era pandemik, penularan wabak ini tidak boleh dijadikan alasan dan halangan untuk kita tidak menganjurkan program bermanfaat seperti ini,” katanya.

Dr. Sarala turut menyatakan rasa kagumnya terhadap penganjur dan kru yang menguruskan pertandingan.

“Mereka berjaya menghadapi semua cabaran teknikal dengan cekap bagi memastikan program berjalan lancar dan ini pastinya memberikan satu pengalaman berharga buat diri saya,” katanya.

Tambah beliau, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini agak membataskan pergerakan dan banyak masa yang terluang harus dimanfaatkan dengan bijak.

“Ini diperakui oleh calon-calon terlibat yang lebih gemar mengisi masa lapang dengan membaca kerana aktiviti ini mampu meluaskan lagi pengetahuan, di samping dapat menjadikan diri lebih matang dalam menghadapi waktu sukar di era pandemik ini.

“Saya juga ingin mengingatkan para pelajar UTHM dan institut pengajian tinggi yang lain agar sentiasa menjadikan aktiviti membaca ini sebagai satu amalan harian agar masa yang berlalu dapat diisi dengan perkara bermanfaat,” katanya.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE