Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 beriltizam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Ia merupakan rangka tindakan komprehensif pihak kerajaan yang memerlukan kerjasama seluruh pihak.

Perkhidmatan awam selaku agen perubahan paling penting semestinya mempunyai tugas yang paling signifikan di dalam hal ini. Ia sekali gus memberi cabaran berat terhadap usaha dan proses penambahbaikan sistem nilai tadbir urus perkhidmatan awam di Malaysia. Penularan Covid-19 yang sudah berpanjangan melebihi satu tahun pula telah mengubah budaya kerja dan norma masyarakat. Lantaran penerapan sistem nilai yang telus dan cekap menjadi harapan semua pihak agar selari dengan kemajuan yang hendak dicapai. Pegangan nilai dan pengamalan budaya berintegriti merupakan teras kepada seluruh usaha ini.

Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) 2020 menunjukkan Malaysia jatuh ke kedudukan ke 57 daripada 180 buah negara. Maka ia wajar diambil perhatian. Malaysia memperoleh 51 mata daripada 100 mata dan merosot enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Menurut Presiden TI-Malaysia, kedudukan ini terkait beberapa kes seperti skandal daging tidak halal, kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah penjawat awam, kemas kini kes berprofil tinggi di mahkamah di samping capaian terhad kepada maklumat terkait kepentingan awam dan kerajaan belum membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Awam.

Sehubungan dengan itu, keutamaan menambah baik sistem nilai tadbir urus di semua peringkat bidang kuasa kerajaan adalah sangat penting. Struktur kerajaan memerlukan doktrin nilai semak-imbang yang jelas antara kuasa eksekutif, perundangan serta kehakiman. Ini merupakan nilai asas yang mana pengasingan kuasa merupakan teras penting pelaksanaan ini. Malah ia akan memastikan institusi di sektor awam lebih terdidik, tersusun dan dikendalikan dengan nilai tadbir urus yang baik, pelaksanaan kuasa yang telus dan bertanggungjawab.

Usaha menambah baik ini juga perlu dilihat dari aspek hubungan dan koordinasi di antara penjawat awam di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan. Hubungan baik antara semua peringkat kerajaan ini harus dipromosikan sebaik-baiknya dan diikat dengan semangat federalisme. Ketua pentadbiran di peringkat tertinggi harus mengambil peranan ini di samping sokongan sistem politik.

Meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan penjawat awam semestinya menjadi usaha berterusan. Penjawat awam adalah golongan yang paling berisiko terhadap rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan. Usaha ini penting bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sektor awam.

Sehubungan itu Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diusahakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) harus terus di dokong dengan konsisten oleh setiap penjawat awam. Memupuk nilai murni dan amalan kerja beretika bersih, cekap dan amanah perlu diterap pada setiap masa. Ia merupakan cerminan harapan semua pihak dalam membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti di samping tindakan-tindakan bersifat punitif. Harus diingat, rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang tetapi merupakan kesalahan sosial dan peradaban yang menjejaskan imej sektor awam seluruhnya.

Sudah tiba masanya persijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) diimplementasikan secara mutlak di semua sektor awam. Persijilan bertaraf antarabangsa ini bertujuan mewujudkan rangka kerja korporat mencegah, mengesan dan menyiasat kes-kes berkaitan rasuah. Dalam hal ini, IIM merupakan institusi yang bertanggungjawab menawarkan pelbagai latihan dan solusi kepada pelaksanaan MS ISO 37001.

ABMS di harap menjadi alat ukur berkesan kepada liabiliti syarikat, kepatuhan kepada peraturan, kawalan pengukuran dan komitmen kepada integriti. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IIM; berdasarkan kajian keberkesanan yang dijalankan oleh The Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU), Universiti Malaysia Pahang (UMP), SIRIM dan IIM, jumlah aduan berkaitan aktiviti rasuah dalam organisasi telah meningkat sebanyak 50 peratus dengan adanya ABMS. Kakitangan menjadi lebih berani untuk melaporkan isu berkaitan rasuah dengan adanya ABMS.

Memperkukuh dan menyempurnakan penyampaian perkhidmatan awam merupakan matlamat akhir semua pihak. Di era pandemik Covid-19, sektor awam benar-benar diharapkan sebagai pemudah cara kepada pelbagai inisiatif kerajaan seperti PRIHATIN dan PENJANA. Menguasai perkembangan teknologi merupakan satu kemestian. Mendigitalkan penyampaian perkhidmatan awam merupakan pelaksanaan usaha dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap penjawat awam.

Pendigitalan melibatkan tuntutan terhadap proses kerja dalam talian di mana-mana dan pada bila-bila masa. Teknik automasi diperkemaskan sekali gus mengekalkan perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan kepada rakyat. Semua ini harus dilakukan dengan betul dan kompeten dalam memperkukuhkan sistem nilai tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Akhir sekali, mengurus perubahan bukan sekadar melaksanakan norma baharu. Ia berkaitan dengan pendekatan spesifik sektor awam dan para penjawatnya bagi bersama-sama mengubah sistem nilai tadbir urus sedia ada agar sentiasa berubah secara dinamik bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Sistem nilai tadbir urus sektor awam harus mereformasi dan berintegriti sepenuhnya. Keterlibatan bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab oleh penjawat awam sangat diharapkan sebagai pendukung utama menerapkan sistem nilai telus, cekap dan berintegriti. Hanya dengan perubahan sistem nilai tadbir urus maka kelestarian hidup rakyat terus terpelihara. Sekali gus menyumbang kepada objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur serta bermaruah.

 

Dr. Lutfan Jaes

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Kredit foto: Utusan Malaysia