Pendekatan Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0 yang baharu perlu diguna pakai dalam menangani dan mendepani era cabaran pandemik ini yang tidak diketahui di mana penghujungnya.

IR 4.0 bukanlah satu teknologi tetapi merupakan satu pendekatan yang menggunakan segala jenis teknologi terutama teknologi digital dalam penyediaan pelantar digital untuk kegunaan orang ramai dalam pelbagai bidang secara automatik, tanpa had masa dan tempat dan kendiri.

Segala bidang seperti pendidikan, kesihatan, perindustrian, pertanian, perniagaan, perbankan, pelaburan dan perkhidmatan awam di Malaysia perlu digerakkan dengan lebih dinamik lagi di era pandemik wabak COVID-19 ini.

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan ketika penularan wabak, hampir RM1 bilion telah diperuntukkan bagi menggalakkan penggunaan teknologi dan digital oleh perusahaan kecil sederhana. Di samping itu, pakej ini berupaya menyemai inovasi digital dalam syarikat pemula niaga yang menjadi sebahagian usaha bagi memastikan mereka bersedia serta berdaya saing dalam era Revolusi Perindustrian Keempat.

Apakah itu Revolusi Perindustrian Keempat? Sebelum itu, dibincangkan dahulu sejarah awal IR 4.0 ini. Ia bermula dengan IR 1.0 iaitu yang berlaku antara akhir 1700 an dan awal 1800 an. Ketika waktu ini, bidang pembuatan berkembang daripada memfokuskan pada tenaga kerja manual yang dilakukan oleh orang dan dibantu oleh haiwan kepada bentuk tenaga kerja yang lebih optimum yang dilakukan oleh orang melalui penggunaan mesin bertenaga air dan wap dan jenis alat mesin yang lain.

Seterusnya, pada awal abad ke-20 yang mana dunia memasuki Revolusi Perindustrian Kedua atau IR 2.0 dengan pengenalan penggunaan alat besi dan elektrik di kilang. Pengenalan elektrik membolehkan pengeluar meningkatkan kecekapan dan membantu menjadikan jentera kilang lebih mudah alih. Pada fasa ini, konsep pengeluaran besar-besaran seperti jalur pemasangan diperkenalkan sebagai cara untuk meningkatkan produktiviti.

Kemudian, bermula pada akhir 1950 an lahir pula Revolusi Perindustrian Ketiga atau IR 3.0 secara perlahan-lahan ketika pengeluar mulai memasukkan lebih banyak teknologi elektronik dan akhirnya komputer ke dalam kilang. Dalam tempoh ini, pengeluar mula mengalami pergeseran yang kurang menekankan teknologi analog dan mekanik dan lebih banyak lagi pada teknologi digital dan perisian automasi.

Dalam beberapa dekad yang lalu, IR 4.0 telah muncul yang telah memberikan penekanan pada teknologi digital. Namun begitu, beberapa dekad kebelakangan ini IR 4.0 ke tahap yang baharu dengan medium Internet melalui beberapa teknologi digital seperti Internet Pelbagai Benda atau IoT, data raya, kecerdasan buatan, pengkomputeran awanan, pengkomputeran kuantum, teknologi rantaian blok atau Blockchain, aplikasi mudah alih dan lain-lain.

Dengan kesemua teknologi digital tersebut, pendekatan IR 4.0 berupaya mencapai data secara masa nyata menerusi sistem siber-fizikal dengan menawarkan pendekatan pembuatan yang lebih komprehensif, saling berkaitan dan holistik. Ini menghubungkan sesuatu yang bersifat fizikal dengan persekitaran digital. Dengan ini memungkinkan kerjasama dan capaian yang lebih baik di seluruh jabatan, rakan kongsi, pembekal, produk dan sesiapa yang terlibat. IR 4.0 memberi kuasa kepada pemilik perniagaan untuk mengendalikan dan memahami dengan lebih baik setiap aspek operasi dan aktiviti yang dijalankan. Seterusnya, memungkinkan mereka memanfaatkan data segera untuk meningkatkan produktiviti, meningkatkan proses, mendorong pertumbuhan dan penjimatan kos.

Namun begitu, maklumat daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan Malaysia kini berada antara IR 2.0 yang berdasarkan pengeluaran secara besar-besaran dan IR 3.0 yang menyepadukan automasi dalam proses dan pembuatan. Jadi, keperluan pembangunan prasarana fizikal dan digital bagi menyokong perkembangan penggunaan IR 4.0 dalam sesebuah organisasi atau syarikat sangat penting terutama di era pandemik ini.

Dengan itu,  tiga komponen utama dalam mendukung implementasi IR 4.0 adalah Internet pelbagai benda, prasarana siber-fizikal dan aplikasi mudah alih.

Internet pelbagai benda (IoT) merupakan asas utama dalam menunjangi IR 4.0. Teknologi ini membolehkan pelbagai gajet atau produk elektronik berinteraksi maklumat menerusi medium Internet dan digital. Maklumat dan data disimpan di satu tempat yang fleksibel dari segi saiz simpanan dan capaian dengan teknologi data raya (Big Data).

Seterusnya, komponen prasarana siber-fizikal berupaya menyokong teknologi IoT dan data raya yang digunakan dalam IR 4.0 dengan penyediaan pelantar maya daripada prasarana fizikal teknologi maklumat. Teknologi yang digunakan dalam prasarana siber-fizikal adalah teknologi pengkomputeran maya yang seterusnya mendukung teknologi pengkomputeran awan.  Prasarana pengkomputeran awan ini membolehkan teknologi data raya beroperasi bersama dengan Internet pelbagai benda dalam mendepani pendekatan IR 4.0.

Komponen ketiga pula melibatkan aplikasi atau perisian yang mesra dengan pelbagai pelantar digital termasuk pelantar mudah alih. Di sini, aplikasi ini akan dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan lain-lain dalam menaakul dan menginterpretasikan data dan maklumat dalam penyediaan pembuatan sesuatu keputusan tepat pada masa dan tempat yang sesuai. Di samping itu, terdapat juga teknologi maya yang berperanan dalam menghidupkan aplikasi yang digunakan seperti teknologi realiti maya dan realiti augmentasi.

Namun begitu, pendekatan IR 4.0 ini membolehkan capaian dan proses aplikasi komputer boleh berlaku pada apa sahaja peranti, di mana sahaja dan pada bila-bila masa, Jadi aspek keselamatan digital perlu dititik beratkan bagi menangani isu kerahsiaan, integriti dan ketersediaan maklumat yang terlibat. Satu teknologi enkripsi data dalam keselamatan digital yang dikenali sebagai rantaian blok atau Blockchain sangat sesuai diguna pakai dalam pendekatan IR 4.0.

Oleh yang sedemikian, pendekatan IR 4.0 dalam apa jua bidang perlu merangkumi ketiga-tiga komponen yang mengandungi pelbagai jenis teknologi maklumat dan digital bagi merealisasikan proses automasi dan pembuatan keputusan secara pintar sebagai hasilnya dalam sesuatu bidang tersebut.

Sebelum itu, sesebuah organisasi dan syarikat perlu melaksanakan transformasi digital secara menyeluruh dalam aktiviti dan operasi organisasi kerana ia adalah kunci utama dalam perlaksanaan pendekatan IR 4.0.

Bagi negara seperti Malaysia terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi dalam melaksanakan Revolusi Perindustrian Keempat ini seperti penyediaan prasarana digital dan Internet perlu dipertingkatkan kapasiti dan luas jangkau capaiannya terutama ke kawasan- kawasan terpencil. Cabaran yang seterusnya ialah penyediaan aplikasi digital tempatan berasaskan IR 4.0 yang mengambil kira norma tempatan dan semasa. Pelaburan dalam teknologi maklumat dan digital terkini yang mendukung pendekatan IR 4.0 seperti teknologi rantaian blok, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan, data raya, pembelajaran mesin dan lain-lain. Cabaran seterusnya ialah keselamatan siber dan kerahsiaan data peribadi yang mana perlu menjadi keutamaan perlaksanaan IR 4.0 ini.

Kesemua cabaran tersebut akan menjurus kepada cabaran yang berikutnya iaitu penyediaan modal kewangan dan modal insan dalam pembangunan transformasi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat ini.

 

 

Firkhan Ali Hamid Ali

Pensyarah Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakutli Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Univeristi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)