Pada hari ini penggunaan aplikasi pesanan telefon pintar sangat popular digunakan sebagai medium baharu komunikasi dalam masyarakat. Boleh dikatakan hampir semua perkara hendak disampaikan dikongsi bersama menerusi aplikasi ini. Sehinggakan urusan rasmi dan sulit dalam pekerjaan yang berkategori rahsia juga turut dikongi bersama dan dihebahkan menerusi aplikasi pesanan ini.
Namun begitu, fikir dahulu sebelum berkongsi maklumat menerusi aplikasi pesanan telefon pintar ini kerana walaupun perkara tersebut dikongsi dengan orang-orang tertentu sahaja, ia belum tentu selamat dan rahsia.
Data atau maklumat merupakan suatu yang sangat bernilai pada hari ini sehingga ada pihak tidak bertanggung jawab memanipulasikan perkara tersebut contohnya seperti menjual nombor telefon penjawat awam pada harga rendah di laman e-dagang.
Jadi aplikasi pesanan telefon pintar paling popular ini dibangunkan oleh penciptanya bertujuan menyediakan pelantar komunikasi yang sangat efektif dan murah berbanding pengunaan sistem pesanan ringkas atau SMS. Namun begitu, apabila ia dibeli oleh sebuah syarikat gergasi teknologi maklumat yang juga mempunyai aplikasi media sosialnya tersendiri, penciptanya menyatakan kegusaran terhadap keselamatan dan kerahsiaan penggunaan aplikasi itu pada masa akan datang.
Perkara ini menjadi kenyataan sehinggakan kedua-dua orang pencipta aplikasi itu keluar daripada syarikat gergasi teknologi maklumat tersebut. Ketika itu, salah seorang daripadanya menyeru agar orang ramai meninggalkan aplikasi media sosial terbabit.
Kini kegusaran itu menjadi lebih terserlah apabila pemilik baharu aplikasi pesanan itu mahu berkongsi segala maklumat yang ada di dalamnya dengan aplikasi media sosial milik mereka untuk tujuan komersial.
Terma baharu aplikasi pesanan ini adalah meminta penggunannya membenarkan perkongsian lebih banyak maklumat termasuk nombor telefon dan lokasi dengan aplikasi media sosial lain sebagai syarikat induknya. Terma ini dipaksa penerimaannya kepada pengguna aplikasi pesanan itu ketika proses kemas kini aplikasi atau pendaftaran baharu. Dengan ini ramai pengguna beralih arah kepada aplikasi pesanan telefon pintar yang lain seperti Signal dan Telegram yang menyaksikan peningkatan mendadak penggunaannya.
Elonk Mask, merupakan seorang pakar teknologi yang mengasaskan Tesla dan SpaceX telah menyarankan pengguna aplikasi pesanan telefon pintar bertukar kepada aplikasi Signal. Begitu juga di negara Turki, kerajaan dan rakyatnya telah beralih arah penggunaan aplikasi pesanan telefon pintar kepada aplikasi BiP dan Dedi yang merupakan ciptaan anak tempatan mereka. Banyak negara Islam seperti Bangladesh juga beralih arah penggunaan aplikasi pesanan telefon pintar BiP ini. Perkara ini juga telah mendapat kritikan padu daripada negara-negara kesatuan Eropah.
Namun begitu, selain daripada isu terdedahnya kerahsiaan maklumat peribadi pengguna, aplikasi pintar telefon yang sangat popular digunakan ini juga mempunyai beberapa masalah keselamatan penggunaanya.
Pertamanya terdapat perisian dajal atau Malware untuk aplikasi ini yang berasaskan web. Penggunaannya yang meluas mengundang kepada masalah ini yang mana banyak pihak berupaya menceroboh menerusi penggunaan aplikasi pesanan telefon pintar ini, menerusi aplikasi webnya dengan pelbagai cara seperti membuat tanaman aplikasi dajal ketika proses muat turun atau pemasangannya dan menyediakan aplikasi web palsu atau Phising untuk menipu pengguna.
Kedua, proses sandaran atau back up yang dibuat tidak dienkrip kerahsiaan datanya. Walaupun, proses penghantaran mesej menerusi aplikasi ini dienkrip secara penghantar-penerima tetapi kandungannya dinyah enkrip pada peralatan penerima mesej. Jadi, bila kesemua mesej itu dibuat salinan sandaran ke pelantar sandaran seperti Google Drive atau iCloud, ia adalah dalam bentuk yang tidak dienkrip.
Ketiga, penularan maklumat tidak benar atau scam menerusi aplikasi media sosial pemiliknya terutama sekali kumpulan-kumpulan yang diwujudkan menjadi isu keselamatan kepada beberapa buah negara akan mempengaruhi juga perjalanan penggunaan aplikasi pesanan ini. Antaranya adalah penyebaran maklumat tidak lengkap ketika kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat tahun 2016, penyebaran maklumat keganasan berkaitan kanak-kanak di India di sepanjang tahun 2017 dan 2018 dan penyebaran maklumat tidak lengkap ketika pilihan raya di Brazil pada tahun 2018.
Akhirnya adalah masalah paparan status pegguna aplikasi pesanan telefon pintar ini yang disangka oleh penggunanya hanya dikongsi bersama dengan rakan dan ahli keluarga sahaja tetapi sebaliknya sesiapa sahaja kenalan yang ada dalam rekod boleh menyaksikan status tersebut sehingga ada yang ditular dengan cara yang tidak sepatutnya. Kerahsiaan perkongsian status ini boleh dikonfigur dengan pergi ke menu Setting > Account > Privacy > Status dan tentukan dengan siapa yang pengguna hendak berkongsi statusnya.
Namun begitu, era pandemik Covid-19 ini telah membataskan pergerakan seseorang, aplikasi pesanan telefon pintar dan media sosial banyak membantu masyarakat berkomunikasi terutama dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi anak-anak kita.
Dengan mengetahui dan memahami isu keselamatan yang wujud dalam aplikasi pesanan telefon pintar dan media sosial, pengguna seharusnya berfikir banyak kali untuk berkongsi dan menyebarkan sesuatu maklumat. Adakah maklumat itu memberi manfaat kepadanya dan orang lain ataupun tidak? Berpada-padalah menggunakan ia. Begitu juga dengan kajian pakar yang mengatakan penggunaan yang berlebihan boleh menjadi satu ketagihan dan boleh menghalang kebolehan seseorang berfikir secara bijak .
Firkhan Ali Hamid Ali
Pensyarah Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web
Fakutli Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Univeristi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Kredit Foto: BERNAMA