Tanggungjawab penjawat awam jayakan Dasar Perpaduan Negara

Dasar Perpaduan Negara (DPN) dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 15 Februari 2021. DPN...
Foto oleh Sinar Harian

Dasar Perpaduan Negara (DPN) dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 15 Februari 2021. DPN merupakan dokumen strategi jangka panjang dan usaha berterusan yang dirangka untuk menetapkan hala tuju perpaduan negara dalam memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Manakala Rangka Tindakan (Blueprint) 2021-2030 pula merupakan dokumen yang menggariskan anjakan strategik dalam mencapai objektif seperti yang digariskan DPN. Ia turut menjadi rujukan dalam penyediaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2025 (PTPN).

Dalam hal ini, penjawat awam mempunyai tugas paling berat dalam memastikan dasar dan rangka tindakan berjaya dilaksanakan. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh warga Kementerian Perpaduan Negara malah semua warga kementerian lainnya. Ia terkait dengan usaha dan proses penambahbaikan serta penyampaian sistem tadbir urus berkesan. Sekali gus penjawat perkhidmatan awam berfungsi sebagai ejen utama Pemboleh Daya Perpaduan dan memastikan segala objektif dan strategik yang digariskan tercapai.

DPN menggariskan empat Pemboleh Daya Perpaduan yang perlu diambil serius oleh seluruh warga penjawat awam. Pemboleh daya bolehlah didefinisikan sebagai pencetus atau mekanisme pemudah cara kepada perpaduan yang menyumbang kepada kemakmuran rakyat. Ia secara langsung memberi kesan kepada arah perpaduan seperti yang dicita-citakan negara.

Pemboleh Daya Perpaduan Pertama ialah usaha-usaha meningkatkan peluang ekonomi yang saksama. Ia merupakan usaha mengimbangi taraf sosioekonomi antara etnik dengan wilayah tanpa mengira kepentingan mana-mana pihak. Tumpuan pembangunan adalah kepada golongan terpinggir, wilayah terpencil serta negeri-negeri yang ketinggalan. Dalam hal ini iltizam penjawat awam sangat diharapkan dalam mengenal pasti, menyantuni dan usaha turun padang. Perubahan terhadap sikap, nilai dan tindakan penjawat awam adalah diharapkan. Dinamika dalam polisi tadbir urus juga adalah dituntut. Memastikan perkhidmatan yang mesra rakyat, sentiasa profesional, mengutamakan integriti, cekap, berkesan dan melakukan perkara yang betul pada pertama kali sangat utamakan.

Memperkasakan kumpulan minoriti dan rentan ekonomi merupakan Pemboleh Daya Perpaduan Kedua. Dalam hal ini, penjawat awam seboleh upaya perlu menjadi “mata telinga” bagi memastikan tiada golongan masyarakat tercicir dalam arus pembangunan. Ia meliputi kumpulan B40, masyarakat orang Asli, bumiputera Sabah dan Serawak, orang kurang upaya (OKU), belia, wanita, kanak-kanak dan warga emas. Setiap golongan mempunyai keperluan khusus yang perlu dikenal pasti dan dipenuhi dalam mencipta potensi masing-masing. Seterusnya ia akan meningkatkan peluang menyumbang aktif dalam ekonomi dan sosial negara.

Pemboleh Daya Perpaduan Ketiga pula melibatkan usaha-usaha mengukuhkan jaringan perlindungan sosial dan memperkasakan inovasi sosial. Penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kebajikan dan bantuan sosial harus dilaksanakan secara bersasar agar lebih berkesan dan mengurangkan ketirisan. Semua perlu dilakukan secara profesional diiringi dengan nilai cekap, berkesan, bertanggungjawab dan akauntabiliti demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Manakala pelaburan ke atas inovasi sosial pula amat penting melalui penjanaan idea, inisiatif, projek atau program bagi menyelesaikan masalah sosial melibatkan individu, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Agensi Kerajaan dan NGO seharusnya bekerjasama dalam menyumbangkan kepakaran masing-masing. Perkongsian data antara agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri juga penting dengan mengambil semangat federalisme.

Pemboleh Daya Perpaduan Keempat pula ialah usaha merapatkan jurang pembangunan dan kebolehcapaian antara negeri dan wilayah. Kemakmuran bersama hanya boleh diperoleh dengan usaha-usaha melangkaui sempadan geografi. Pembangunan infrastruktur yang luas serta peningkatan akses serta kecapaian fizikal dan komunikasi digital antara aspek yang perlu diberikan tumpuan utama. Di era pandemik Covid-19, menguasai perkembangan teknologi oleh setiap penjawat awam bukan lagi satu pilihan malah satu kemestian. Nilai kompetensi perlu ada dalam kalangan penjawat awam dalam aspek kebolehan, kecekapan dan kemahiran.

Akhir kata, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 telah menggariskan pemboleh daya perpaduan yang perlu difahami, dihayati dan dilaksanakan oleh seluruh penjawat awam bagi mencapai matlamat memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan negara. Usaha ke arah perpaduan memerlukan komitmen semua pihak dan penjawat awam mempunyai peranan besar sebagai ejen membina negara maju, makmur, berintegriti dan bersatu padu serta diiktiraf di peringkat global. Sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara bersatu, makmur dan bermaruah seperti yang dicita-citakan pada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Kredit foto: Sinar Harian/Dasar Perpaduan Negara

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE