Transformasi digital di Malaysia berlaku secara agresif sepanjang 2021–2026, dipacu pelancaran MyDIGITAL dan pelaksanaan Malaysia Digital Economy Blueprint (MDEB). Ekonomi digital menyumbang 23.4% kepada KDNK pada 2024, melepasi sasaran awal, manakala pelaburan digital melonjak ketara hasil pembangunan 5G, pusat data dan inisiatif AI Nasional. Bajet 2026 yang menekankan agenda AI Nation 2030 membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem digital negara. Perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah landskap pekerjaan secara drastik di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Walaupun perkembangan ini membawa banyak manfaat kepada organisasi dan ekonomi negara, terdapat satu cabaran yang semakin mendapat perhatian, iaitu fenomena teknostres. Teknostres memberi tekanan psikologi kepada individu akibat penggunaan teknologi secara berlebihan, perubahan sistem digital yang kerap, serta keperluan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perisian dan platform baharu. Teknostres boleh menjejaskan kesejahteraan pekerja, mengurangkan motivasi kerja serta menjejaskan prestasi jangka panjang jika tidak ditangani secara sistematik.

Dalam era AI, tekanan ini menjadi lebih ketara. Pekerja bukan sahaja perlu memahami sistem digital yang semakin kompleks, malah berdepan kebimbangan tentang teknologi automasi dan AI mungkin menggantikan sebahagian peranan mereka pada masa hadapan. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan pekerja, terutamanya bagi mereka yang kurang terdedah kepada kemahiran digital.

Hakikatnya, transformasi digital bukan sekadar melibatkan teknologi, tetapi juga perubahan budaya kerja dan cara manusia berinteraksi dengan sistem. Justeru, majikan memainkan peranan penting dalam memastikan proses pendigitalan berlaku secara seimbang tanpa mengabaikan kesejahteraan pekerja.

Salah satu punca utama teknostres ialah perubahan teknologi yang terlalu pantas tanpa persediaan yang mencukupi. Dalam banyak organisasi, sistem baharu diperkenalkan secara mendadak bagi meningkatkan kecekapan operasi. Namun, pekerja sering terpaksa mempelajari perisian baharu dalam masa yang singkat sambil perlu mengekalkan prestasi kerja sedia ada. Keadaan ini menyebabkan beban kerja meningkat kerana pekerja perlu menyesuaikan diri dengan sistem baharu di samping menyelesaikan tugasan harian.

Selain itu, kemas kini sistem yang terlalu kerap juga boleh menyumbang kepada tekanan. Perubahan prosedur kerja dan integrasi sistem yang baharu memerlukan pekerja menyesuaikan diri berulang kali. Jika perubahan ini tidak disertai dengan latihan dan penerangan yang jelas, pekerja mungkin keliru dan kurang yakin dalam menggunakan teknologi tersebut.

Teknostres juga boleh berpunca daripada kekurangan kemahiran digital dalam kalangan pekerja. Walaupun banyak organisasi memperkenalkan teknologi canggih, tidak semua pekerja mempunyai tahap literasi digital yang sama. Ada yang cepat menyesuaikan diri, namun ada juga yang memerlukan masa lebih panjang untuk memahami sistem baharu. Tanpa sokongan dan latihan yang mencukupi, pekerja mungkin berasa tertekan dan kurang bermotivasi.

Dalam konteks ini, majikan perlu melihat transformasi digital sebagai satu proses yang melibatkan manusia, bukan sekadar pelaksanaan teknologi. Teknologi seharusnya menjadi alat untuk membantu pekerja meningkatkan produktiviti, bukannya menjadi sumber tekanan yang menjejaskan kesejahteraan mental mereka.

Langkah pertama yang perlu diambil oleh majikan ialah menyediakan latihan yang komprehensif dan berterusan. Program latihan tidak seharusnya bersifat sekali sahaja, tetapi perlu dilaksanakan secara berperingkat agar pekerja dapat memahami teknologi baharu secara mendalam. Latihan juga perlu disesuaikan dengan tahap kemahiran pekerja supaya mereka dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan tidak tertekan.

Selain itu, organisasi perlu mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat. Dalam era digital, kemahiran teknologi sentiasa berubah dan berkembang. Oleh itu, pekerja perlu digalakkan untuk terus meningkatkan kemahiran melalui kursus, bengkel dan program pembangunan profesional. Kerjasama antara industri dan institusi pendidikan juga penting bagi memastikan tenaga kerja sentiasa mempunyai kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa. Malaysian Technical University Network (MTUN)  memainkan peranan penting dalam menyediakan program pendidikan teknikal yang selari dengan keperluan industri digital.

Majikan juga perlu mengamalkan komunikasi yang berterusan apabila memperkenalkan teknologi baharu, terutamanya AI. Ramai pekerja berasa bimbang bahawa AI akan menggantikan pekerjaan mereka. Jika kebimbangan ini tidak ditangani, ia boleh menimbulkan ketidakpercayaan terhadap organisasi. Oleh itu, pengurusan perlu menjelaskan bahawa AI bertujuan membantu meningkatkan kecekapan kerja dan bukan semata-mata menggantikan tenaga manusia.

Pendekatan yang lebih inklusif juga boleh membantu mengurangkan teknostres. Sebagai contoh, pekerja boleh dilibatkan dalam proses pemilihan atau ujian sistem baharu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya. Dengan cara ini, pekerja mempunyai peluang untuk memberikan maklum balas mengenai sistem yang bakal digunakan.

Selain faktor latihan dan komunikasi, kesejahteraan mental pekerja juga perlu diberi perhatian serius. Tekanan akibat penggunaan teknologi secara berterusan boleh menyebabkan keletihan digital. Pekerja yang sentiasa berhadapan dengan skrin komputer, notifikasi sistem dan platform komunikasi digital mungkin mengalami keletihan mental jika tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi.

Bagi mengatasi keadaan ini, organisasi boleh memperkenalkan dasar kerja yang lebih seimbang, seperti mengawal penggunaan teknologi di luar waktu kerja atau menyediakan masa rehat yang mencukupi bagi pekerja. Langkah sebegini dapat membantu pekerja mengekalkan keseimbangan antara kehidupan kerja dan kehidupan peribadi.

Dalam jangka panjang, pengurusan organisasi juga perlu menilai impak teknologi terhadap pekerja sebelum sesuatu sistem baharu dilaksanakan. Penilaian ini bukan sahaja melibatkan kos dan keberkesanan operasi, tetapi juga kesan terhadap beban kerja, tekanan psikologi serta kepuasan kerja pekerja. Pendekatan ini dapat memastikan transformasi digital dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab.

Peranan majikan dalam menangani teknostres juga berkait rapat dengan gaya kepimpinan organisasi. Kepimpinan yang empati dan memahami cabaran pekerja dalam menghadapi perubahan teknologi dapat mewujudkan suasana kerja yang lebih positif. Apabila pekerja berasa dihargai oleh pengurusan, mereka akan lebih terbuka untuk menerima perubahan dan mempelajari kemahiran baharu.

Dalam masa yang sama, pekerja juga perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan realiti dunia pekerjaan yang semakin digital. Perubahan teknologi tidak dapat dielakkan dan akan terus berlaku dalam pelbagai sektor ekonomi. Oleh itu, sikap terbuka terhadap pembelajaran dan peningkatan kemahiran merupakan faktor penting dalam memastikan pekerja kekal relevan dalam pasaran kerja.

Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam membantu organisasi dan pekerja menghadapi cabaran transformasi digital. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi digital negara melalui pembangunan infrastruktur teknologi, program latihan kemahiran digital serta sokongan kepada industri yang mengadaptasi teknologi baharu. Dalam konteks ini, agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekosistem digital negara.

Melihat kepada perkembangan teknologi masa hadapan, tekanan berkaitan penggunaan teknologi mungkin menjadi sebahagian daripada realiti pekerjaan moden. Namun, tekanan tersebut tidak semestinya menjadi sesuatu yang negatif jika diurus dengan baik. Dengan sokongan majikan, latihan yang berterusan serta budaya kerja yang inklusif, teknologi sebenarnya boleh membantu meningkatkan kualiti kerja dan kesejahteraan pekerja.

Kesimpulannya, transformasi digital dan penggunaan AI membawa banyak peluang kepada organisasi dan ekonomi negara. Namun, kejayaan transformasi ini tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi yang digunakan, tetapi juga kepada kemampuan organisasi mengurus perubahan tersebut secara berperikemanusiaan. Majikan perlu memainkan peranan aktif dalam membantu pekerja menghadapi teknostres melalui latihan, komunikasi yang telus serta sokongan terhadap kesejahteraan mental pekerja.

Jika teknologi dilaksanakan dengan pendekatan yang berpusatkan manusia, ia bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti organisasi, malah dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan mampan. Dalam era AI yang semakin berkembang, keseimbangan antara inovasi teknologi dan kesejahteraan pekerja menjadi kunci utama kepada kejayaan transformasi digital yang sebenar.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)