BATU PAHAT, 7 Nov 2020 – Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited menyumbang bakti apabila sekumpulan warganya melaksanakan program khidmat komuniti bagi membantu masyarakat Kampung Orang Asli Kangkar Senangar di Parit Sulong.

Menurut Ketua Projek, Dr. Muhammad Fikri Hasmori setelah mengenal pasti masalah yang boleh dibantu di kampung berkenaan, beliau bersama 10 rakan pensyarah dan tujuh pelajar fakulti itu turun padang untuk berganding bahu dengan 25 orang penduduk kampung.

Jelas beliau, gotong royong tersebut melibatkan kerja-kerja membaiki balai adat yang diketuai oleh Haji Ayob Sahlan, demonstrasi membuat baja kompos yang diketuai Profesor Madya Dr. Aeslina Abd Kadir dan pemeriksaan kualiti air telaga tiub yang diketuai oleh Ts Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri.

“Pihak kami juga turut memenuhi hasrat ketua kampung yang ingin mewujudkan ‘wall gallery’ untuk memaparkan sejarah salasilah kampung tersebut dengan bantuan tenaga mahir pertukangan yang ada di FKAAB,” tambahnya.

Turut serta, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKAAB, Profesor Madya Ts. Dr. Azeanita Suratkon sekali gus merasmikan program tersebut.

“Melalui program khidmat komuniti ini, kami berharap penduduk kampung dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari menerusi aktiviti ‘hands on’ yang dilaksanakan dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Tambahnya lagi penganjuran program ini juga diharap dapat membantu memupuk nilai cinta terhadap alam sekitar ke arah kelestarian kampung yang berkonsepkan 3R iaitu reuse, reduce, recycle, selain dapat memupuk semangat perpaduan dan hubungan erat dengan penduduk kampung yang sudah lama terjalin utuh.

 “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit, termasuk rakan kerjasama iaitu Pejabat Penghulu Mukim Sri Medan, Micropollutant Research Center (MPRC), Jamilus Research Center (JRC), Persatuan Pelajar Awam (PPA FKAAB) dan Pusat Hubungan Industri Dan Masyarakat (ICRC), UTHM,” ujar Dr. Fikri.