BATU PAHAT – Bagi merapatkan hubungan universiti dengan komuniti setempat, 30 pensyarah dan 12 pelajar pasca siswazah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil bahagian melaksanakan program khidmat komuniti yang berkonsepkan kelestarian Alam Sekitar di Sekolah kebangsaan Seri Rejo Sari, Senggarang pada 8 Oktober 2020 lalu.

Menurut Ketua Projek, Ts. Dr. Roslinda Seswoya program tajaan fakulti dan Pusat Pengajian Siswazah ini melibatkan aktiviti gotong royong menaiktaraf kawasan kolam ikan dengan menggunakan sisa blok konkrit iaitu sisa daripada aktiviti penyelidikan di FKAAB serta tayar terpakai.

“Konsep kitar semula ini tercetus apabila pihak kami mahu memanfaatkan sisa-sisa  tersebut agar tidak terbuang begitu sahaja.

“Dengan menggunakan pendekatan ‘Waste to Landscape’ pihak kami mengitar semula bahan terbuang itu bagi kegunaan projek landskap sekolah terbabit,” katanya.

Selain gotong-royong, pasukan ini juga turut mengadakan sesi perkongsian ke arah mencintai alam sekitar bersama guru-guru sekolah agar mereka dapat bersama-sama membudayakan 3R iaitu reuse, reduce, recycle bagi membentuk sekolah lestari.

“Penganjuran program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak sekolah, namun turut memberi ruang kepada warga FKAAB untuk berinteraksi dengan komuniti setempat sekali gus menjadi duta kecil bagi mempromosikan UTHM.

“Pihak FKAAB berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi di sekolah-sekolah lain sekitar Parit Raja untuk manfaat bersama.

“Ini kerana melalui program ini transformasi sisa kepada produk lain dapat dilakukan secara hands-on, di samping dapat mengalakkan lagi  budaya kitar semula sisa dalam kalangan masyarakat, selain melupuskannya di tempat pelupusan sampah,” ujar Dr. Roslinda.