BATU PAHAT – Bagi memberi ruang kepada penyelidik dan ahli akademik berkongsi ilmu dan dapatan penyelidikan bidang masing-masing, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan simposium antarabangsa International Symposium on Civil and Environmental Engineering (ISCEE 2020) kali ketiga secara maya pada 1 dan 2 Disember 2020 lalu.

Simposium ini menyediakan tiga platform persidangan iaitu International Conference on Sustainable Construction and Structures (ISUCOS 2020),  International Conference on Sustainable Environment and Water Research (ISCWER 2020) dan  International Conference on Sustainable Infrastructure Engineering (ISCIE 2020).

Menurut ketua penyelaras persidangan, Profesor Madya Ts. Chm. Dr. Radin Maya Saphira Radin Mohamed sebanyak 123 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan, melibatkan penyertaan peserta tempatan dari pelbagai institusi pendidikan dan industri serta peserta antarabangsa dari Indonesia, Brunei dan Oman.

Bertemakan ‘Shaping The Future Through Sustainable Engineering and Technology,’ empat pengucaptama yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dan wakil industri telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing.

Mereka yang terlibat iaitu Profesor Madya Dr. Munzilah Md Rohani dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim dari FKAAB serta Profesor Madya Dr. Ir. Jazaul Ikhsan dari UMJ telah berkongsi tentang kemajuan terkini dalam bidang kepakaran kajian masing-masing.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Gruppe Dynamic, Datuk Ir. Ts. Wan Nazri Wan Aria yang juga bekas Jurutera Struktur untuk projek Menara Jam Mekah telah berkongsikan pengalaman kerjaya beliau dalam pelbagai bidang pembinaan bagi menginspirasikan lagi para peserta.

Dr. Radin Maya juga berkata oleh kerana negara masih dibelenggu dengan pandemik Covid-19, persidangan yang asalnya dirancang penganjurannya di Yogjakarta, Indonesia ini dilaksanakan secara maya, dengan kerjasama Universitas Muhammadiyah Yogjakarta (UMJ) dan turut dibantu oleh Universitas Airlanggar, Universitas Narotama Surabaya dan juga Pavement and Transportation Research Group (PTRG), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Pusat-pusat penyelidikan di bawah FKAAB iaitu Jamilus Research Center for Sustainable Construction (JRC), Micropollutant Research Center (MPRC), Smart Driving Research Center (SDRC) dan Center of Applied Geomatics for Disaster Prevention (CAGeD) telah bertindak sebagai penggerak utama persidangan.

“Penganjuran program ini berjalan lancar hasil komitmen penuh daripada semua pihak terutamanya Jawatankuasa Teknikal yang diketuai oleh Ir. Dr. Syahrul Niza Mokhatar dan Ts. Dr. Ahmad Fahmy Kamarudin.

“Manakala peserta pula turut memberi maklum balas positif tentang perjalanan persidangan yang sangat teratur dan menepati masa seperti yang dijadualkan,” katanya.

Beliau yang mewakili fakulti berharap penganjuran persidangan maya seumpama ini dapat menjadi alternatif terbaik kepada para penyelidik untuk bertukar idea dan pandangan, selain berupaya mendapat capaian yang lebih meluas dalam perkongsian dapatan kajian terkini ketika berdepan dengan cabaran Covid-19.