Oleh Dr. Muhammad Nizam Zakaria

BATU PAHAT, 10 Dis 2020 – Walaupun negara masih dibelenggu dengan pandemik Covid-19, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dengan kerjasama Faculty of Science and Engineering, Saga University (SU) tetap mengambil inisiatif menganjurkan seminar bertajuk ’International Seminar on Multi-Disciplinary in Civil Engineering’ secara maya.

Seramai 85 peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar dari UTHM, SU, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Utara Malaysia, Politeknik Sultan Azlan Shah, Jabatan Kerja Raya, termasuk peserta dari Indonesia, Myanmar, Republik Chad, Iran dan Kosovo telah menyertai seminar tersebut.

Profesor Pelawat SU ke UTHM, Profesor Dr. Ohgushi Koichiro dan Profesor Pelawat UTHM ke SU, Profesor Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin telah dijemput khas bagi menjayakan seminar itu. Kedua-dua mereka telah berkongsi tentang pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang kejuruteraan awam.

Selain itu, lima peserta terdiri daripada pelajar pasca siswazah dari kedua-dua institusi tersebut turut membentangkan kajian mereka. Kesemua peserta yang terlibat telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik sepanjang seminar berlangsung manakala sesi soal jawab selepas pembentangan juga mendapat sambutan yang menggalakkan.

Penganjuran seminar tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FKAAB, Profesor Ir. Ts. Dr Mohd Irwan Juki.

Beliau dalam ucapannya turut menyentuh sejarah pembentukan memorandum persefahaman antara UTHM dan SU pada tahun 2015 lalu dan bidang kerjasama yang telah dijalankan sepanjang perjanjian itu dimeterai.

Menurut beliau, kerjasama yang dilaksanakan adalah seperti artikulasi mata pelajaran sarjana muda antara kedua-dua institusi tersebut, program pertukaran pelajar, program profesor pelawat, penyelidikan, penerbitan dan persidangan.

Dr. Irwan turut menyatakan hasratnya untuk meneruskan pelaksanaan segala bentuk usaha sama yang telah dirancang sebelum ini walaupun dengan kekangan kewangan dan juga pandemik yang melanda dunia ketika ini.

Rakaman seminar boleh dicapai melalui pautan berikut  https://www.youtube.com/watch?v=f1MRorJ6nCs