Perumahan selesa dan kualiti hidup masyarakat bandar

Di Malaysia perbandaran sering kali dikaitkan dengan transformasi ekonomi iaitu perubahan kesan daripada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang membawa kepada kemajuan dan pemodenan sesebuah masyarakat di sesuatu tempat dan...

Di Malaysia perbandaran sering kali dikaitkan dengan transformasi ekonomi iaitu perubahan kesan daripada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang membawa kepada kemajuan dan pemodenan sesebuah masyarakat di sesuatu tempat dan negara. Selaras dengan itu berlaku peningkatan terhadap permintaan perumahan yang merupakan keperluan asas manusia bertujuan untuk memenuhi keperluan dan kehendak penduduk yang semakin meningkat. Pada hari ini, penyediaan perumahan bukan sahaja berfokuskan tentang reka bentuk rumah semata-mata, bahkan meliputi penyediaan kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang merupakan satu keperluan asas kepada kehidupan manusia. Rumah yang selesa bukan sahaja sebagai tempat tinggal bahkan fungsinya lebih daripada itu iaitu dari segi keperluan sosial seperti untuk berehat, membesarkan anak-anak, keagamaan dan seterusnya  meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Pada hari ini, isu perumahan dan tempat tinggal di bandar merupakan perkara pokok yang sering diperdebatkan oleh media massa, masyarakat awam, orang perseorangan mahupun pengkaji bandar. Terdapat dua perkara yang difokuskan pada hari ini iaitu dari segi harga rumah yang tinggi dan tidak mampu dibeli oleh penduduk dan juga lokasi rumah tersebut di bina (tempat tinggal) di samping penyediaan kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang lain.  Kedua-dua perkara ini merupakan elemen pokok dan sangat mempengaruhi kemampuan dan cita rasa pembeli di bandar.

Walau bagaimanapun dalam penulisan ini, penulis memfokuskan perbincangan di bandar daripada aspek lokasi perumahan yang dibina (iaitu di mana) dan elemen-elemen ketersampaian penduduk kepada kemudahan dan juga landskap di persekitaran. Timbul persoalan kenapa fokus penulisan ini adalah kepada elemen lokasi rumah, kemudahan dan landskap persekitaran rumah? Persoalan ini terjawab apabila kita meneliti antara faktor-faktor yang mempengaruhi penjualan sesebuah rumah oleh pemaju selain daripada harga dan reka bentuk, faktor lokasi perumahan adalah sangat penting.  Pernyataan ini disokong oleh beberapa pengkaji yang menyatakan harga rumah, ketinggian bangunan, ketumpatan dan nilai tanah mempunyai hubungan yang negatif dengan jarak dari pusat bandar. Ini bermakna, semakin jauh lokasi rumah penduduk dari pusat bandar, maka harga rumah semakin rendah, ketinggian bangunan, ketumpatan dan nilai tanah dan begitu juga sebaliknya.

Meneliti interaksi antara penduduk di tempat tinggal mereka dalam melakukan aktiviti harian merupakan perkara yang signifikan dan boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup. Kehidupan berjiran, sebagai contoh perlu dilihat secara positif, walaupun budaya “endah” semakin pudar diamalkan oleh masyarakat bandar. Sebarang aktiviti sama ada bersifat ekonomi, sosial dan politik bukan sahaja akan mempengaruhi kehidupan seseorang individu atau berkeluarga bahkan akan mengesani aspek kualiti hidup secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, perkembangan bandar akibat globalisasi ekonomi dan perubahan landskap bandar memberi kesan ke atas kualiti hidup kelompok minoriti umpamanya penduduk setinggan dan Orang Asli (yang terdapat di kawasan bandar baharu). Golongan minoriti ini cenderung untuk terus tersisih dan terpinggir daripada arus perdana akibat proses globalisasi ekonomi.

Di Malaysia, kesejahteraan hidup masyarakat bandar boleh dinilai berdasarkan beberapa aspek yang boleh dipantau melalui keperluan asas penduduk seperti pekerjaan dan jenis pekerjaan, jumlah pendapatan, perumahan, pemakanan, pendidikan, kesihatan, penyediaan infrastruktur dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kualiti hidup bandar harus merangkumi skop yang luas termasuklah penyediaan rumah untuk kelompok tertentu seperti golongan kurang upaya, persekitaran bandar yang sihat, penyediaan kemudahan awam dan banyak lagi.

Seiring dengan kemajuan ekonomi, Malaysia turut mengolak langkah yang drastik dalam sektor perumahan rakyat. Malaysia telah memperkenalkan Dasar Perumahan Negara dan Majlis Perumahan Negara, bertujuan memastikan rakyat Malaysia mempunyai rumah untuk didiami dengan selamat sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Sememangnya, Dasar Perumahan Negara (DRN) diwujudkan untuk menggariskan hala tuju serta dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sektor perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan (KPKT 2011).

Matlamat DRN juga adalah jelas iaitu untuk menyediakan rumah yang mencukupi, selesa, berkualiti, dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Malah, DRN juga diperkenalkan untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri perumahan pada masa kini. Isu-isu yang kompleks dan mencabar sememangnya memerlukan penyelesaian yang cekap bagi menjamin pertumbuhan industri yang sihat dan mapan. Perumahan merupakan salah satu keperluan asas untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara. Manakala, sektor pembinaan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan sektor-sektor lain, termasuk sektor perumahan, perkhidmatan dan sektor pembuatan bahan-bahan binaan.

Walau bagaimanapun dalam keghairahan mengejar pembangunan, isu kualiti hidup penghuni yang meliputi ketidakselesaan mendiami rumah (termal), yang tidak mengambil kira faktor cuaca setempat, kepuasan terhadap persekitaran, penyediaan dan ketersampaian penghuni kepada kemudahan ekonomi, sosial, pengangkutan dan infrastruktur merupakan kriteria penting dalam penilaian kualiti hidup masyarakat di bandar. Isu ini jika tidak ditangani dengan bijak akan memberi kesan ke atas keselamatan, kesihatan, dan kualiti hidup masyarakat bandar secara keseluruhan.

Umumnya walaupun rumah dilihat sebagai simbol status sosial seseorang individu oleh kebanyakan masyarakat, namun kita harus menyedari bahawa rumah bukan sahaja dilihat sebagai status sosial semata-mata bahkan ianya lebih daripada itu. Rumah perlu dilihat dari aspek bagaimana ianya boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup di bandar, yakni perlunya aspek perumahan yang mencakupi keselesaan dalaman dan luaran (ketersampaian kepada kemudahan) sebagai menyumbang kepada kualiti hidup masyarakat di bandar.

Justeru, pembangunan perumahan di masa-masa akan datang bukan sahaja menfokuskan dari aspek reka bentuk semata-mata, bahkan perlu mengambil kira kesediaan dan ketersampaian penghuni kepada kemudahan dan fasiliti di persekitaran. Adalah diharapkan pembangunan perumahan di Malaysia di masa akan datang  mempertimbangkan aspek keselesaan penghuni mendiami rumah (dalam dan luar rumah)  dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan hidup  manusia sejagat.

 

 

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Kredit foto : BH Online (Arkib NST)

 

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE