Sampah digital (Digital Clutter) merupakan fail-fail di dalam peranti-peranti digital seperti komputer dan telefon pintar yang terhasil akibat daripada aktiviti pelambakan digital (Digital Hoarding). Pelambakan Digital adalah aktiviti yang mana terdapat pelambakan fail-fail digital yang tidak diperlukan namun tersimpan di dalam ruang memori komputer. Menurut sebuah laporan perubatan yang diterbitkan oleh Jurnal Perubatan British (BMJ), aktiviti ini mampu menyebabkan pengguna komputer kehilangan perspektif, menghasilkan stres dan kecelaruan pengurusan ketika menggunakan komputer.

Ketiga-tiga simptom yang disebut (kehilangan perspektif, stres dan kecelaruan pengurusan) merupakan indikasi penting bagi masalah ini. Meskipun kelihatan remeh, kuantiti sampah digital yang tinggi mampu menggugat kesihatan dan kesejahteraan mental seseorang individu. Oleh itu, individu tersebut perlu memiliki pengetahuan untuk menangani sampah digital ini.

Untuk menanganinya, ada beberapa pilihan strategi konvensional mahupun kontemporari. Salah satu strategi yang kian mendapat perhatian adalah teknik KonMari. Menerusi sebuah artikel oleh akhbar The Star Malaysia, teknik KonMari merupakan teknik mengemas yang dipelopori oleh seorang konsultan Jepun bernama Marie Kondo. Falsafah utama bagi teknik ini adalah mudah: Adakah sesuatu objek itu menggembirakan pemiliknya? (Does it spark joy?). Sekiranya ya, maka objek tersebut wajar disimpan dan sekiranya tidak, maka objek tersebut wajar dibuang.

Meskipun teknik KonMari pada asalnya diperkenalkan untuk menangani sampah-sampah fizikal, tidak salah jika ia turut diaplikasikan kepada sampah-sampah digital. Apa yang diperlukan adalah sedikit kreativiti. Mari kita lihat contoh bagaimana teknik KonMari diterapkan ke atas dua aplikasi perisian yang boleh dikatakan kerap menghasilkan sampah-sampah digital, iaitu Google Mail.

 Google Mail

Sepanjang tempoh PKP, mel elektronik (e-mel) menjadi antara saluran komunikasi utama untuk urusan formal. Justeru, lambakan sejumlah e-mel yang tidak berkenaan ke dalam kotak Inbox akan menyebabkan e-mel yang penting terabai atau terlepas pandang. Bagi menanganinya, beberapa ciri-ciri Google Mail yang sedia ada iaitu penanda mustahak (Important), penanda bintang (Star), label, mekanisme tapisan (Filter) dan pengubahsuaian alamat e-mel boleh dimanfaatkan.

Penanda mustahak dilaksanakan secara automatik oleh Google Mail ke atas e-mel yang dirasakan penting kepada pemilik akaun menggunakan sejenis algoritma unik. Kebiasaannya, pemilik boleh memantau penanda ini melalui carian menggunakan frasa is:important di dalam bar carian Google Mail. Jika terdapat e-mel yang tidak wajar ditandakan sebagai penting, maka pemilik akaun boleh menyahaktifkan ikon berwarna kuning penanda tersebut.

Penanda bintang pula memiliki peranan yang serupa dengan penanda mustahak. Bezanya, pemilik akaun perlu menanda e-mel secara manual. Sebagaimana penanda mustahak, e-mel yang memiliki penanda bintang juga boleh disenaraikan melalui carian frasa is:starred. Apakah beza antara kedua-duanya? Sebagai cadangan, e-mel yang memerlukan balasan segera boleh ditandakan dengan penanda mustahak, manakala e-mel yang tidak memerlukan balasan segera boleh ditandakan dengan penanda bintang.

Penggunaan label pula sebaiknya diaplikasikan bersama-sama mekanisma tapisan. Dari perspektif KonMari, penggunaan label boleh mengurangkan e-mel yang tidak menggembirakan dari memasuki kotak Inbox. Pertama, wujudkan beberapa label bagi menempatkan e-mel yang menjengkelkan. Kedua, wujudkan syarat tapisan yang menggunakan beberapa kata kunci yang melambangkan identiti e-mel tersebut, contohnya seperti kata kunci unsubscribe yang acap kali wujud di dalam e-mel pemasaran dan spam. Ketiga, pastikan syarat tapisan adalah memindahkan kesemua e-mel yang terlibat ke label yang telah diwujudkan dan melangkaui kotak Inbox (skip Inbox).

Salah satu teknik KonMari adalah dengan menangani sesuatu objek mengikut kategori-kategori tertentu. Melalui pengubahsuaian alamat e-mel pula, teknik ini boleh dimanfaatkan untuk mengkategorikan e-mel kepada beberapa kategori secara tidak langsung. Contohnya, apabila melanggan katalog atas talian, pemilik akaun boleh memberikan alamat e-mel berikut: <nama akaun+nama kategori>@domain, contohnya alia+langganan@peribadi.my (bukan alamat e-mel sebenar)

Langkah ini membolehkan pemilik akaun melakukan carian menggunakan frasa “pemasaran” untuk menyenaraikan e-mel yang berkaitan dengan urusan pemasaran sahaja, dan seterusnya memudahkan pemilik akaun untuk memadam e-mel yang telah tamat tempoh langganan secara pukal.

Dari sudut keselamatan pula, teknik pengubahsuaian e-mel ini berguna dalam mengesan sumber e-mel yang diterima. Contohnya, pemilik akaun telah mendaftar sebuah akaun dengan laman sosial Twitter menggunakan alamat emel alia+twit@peribadi.my, dan Facebook menggunakan alia+fb@peribadi.my. Apabila menerima e-mel dari pihak yang tidak dikenali, pemilik akaun dengan segera dapat mengenal pasti sumber asal e-mel melalui alamat e-mel yang digunakan oleh penghantar tersebut. Langkah ini membantu pemilik akaun dalam mengenal pasti pihak-pihak yang telah menyebarkan data peribadi pemilik akaun kepada pihak ketiga tanpa kebenaran.

Kesemua ciri-ciri Google Mail di atas hanya memerlukan kemahiran asas literasi teknologi maklumat dan komitmen masa. Tidak perlu juga mengaplikasikan kesemuanya. Sebagaimana yang dianjurkan oleh Marie Kondo, pilihlah kaedah yang paling menggembirakan.

 

 

 

 

 

 

 

Oleh:

Puan Suhaila Mohd Yasin
Jabatan Kejuruteraan Perisian
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Featured image oleh *dosen.perbanas.id